suria

Mac Ruhayu reda digelar 'artis sendu' - “Komen di Telegram itu hanya peringatan kepada rakan selebriti”

Mac Ruhayu reda digelar artis sendu.

PENYANYI era 90-an, Mac Ruhayu menerima kecaman hebat netizen apabila nama dan teks perbualannya bersama beberapa rakan artis di aplikasi Telegram tular di media sosial.

Menjelaskan situasi sebenar, Mac memberitahu mesej yang ditulis olehnya itu bertujuan memberi peringatan kepada rakan artis yang lain supaya berhenti berbalah sesama sendiri.

"Untuk pengetahuan netizen yang dihormati, saya telah dijemput rakan-rakan Seniman untuk menyertai Telegram berkenaan Bantuan Covid-19. Pada mulanya keadaan dalam Telegram itu adalah tenang.

ARTIKEL BERKAITAN: Zed Zaidi syak ada netizen terlepas masuk Telegram artis - “Admin terpaksa off komen, tapis segala perbualan dalam group tersebut”

ARTIKEL BERKAITAN: “Busuk hati sampai nak tutup IG aku, korang dah lebih!” - Zarina Anjoulie, artis senior terus ‘perang’

"Setelah melihat senarai nama-nama artis maka saya memperkenalkan diri... komen pesanan saya hanya sebaris adalah sebagai memberi peringatan kepada rakan-rakan lain agar berhenti dari terus berbalah.

"Supaya tidak menerima nasib seperti Diva AA (Azwan Ali) yang didenda RM17,000 kerana didapati melanggar akta yang telah ditetapkan. Selepas tinggal komen pesanan tersebut saya terus keluar group," katanya menerusi laman Facebook.

Presiden Seniman, Zed Zaidi syak ada netizen terlepas masuk dalam group tersebut.

Dalam paparan skrin perbualan yang tular itu, Mac hanya menyebut mengenai denda RM17,000 yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap satu kesalahan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan mesej itu ditujukan kepada siapa.

"Silap hari bulan kena caj RM17,000 di mahkamah," tulisnya.

Gara-gara mesejnya itu, dia dikecam dan menerima pelbagai gelaran daripada netizen.

"Untuk pengetahuan semua netizen yang dihormati, saya dengan rendah hati menerima label anda sebagai 'artis sendu'.   

"Namun, selama saya berada di dalam industri ini, saya telah berjaya membesarkan anak-anak saya seramai empat orang dengan rezeki sebagai penyanyi dan artis selama hampir 30 tahun.

Mac Ruhayu tersenarai dalam kumpulan artis yang ingin diboikot netizen.

"Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada semua adik-adik netizen kerana komen peringatan saya di group Telegram itu telah disalah erti," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi lagu Ditakdir Kita Bersama ini menafikan mesej itu ditujukan kepada bekas pengacara Azwan Ali yang didenda oleh mahkamah kerana memuat naik video menghina petugas hospital, baru-baru ini.

"Saya juga ada menghubungi Diva AA untuk membuat penjelasan berkenaan komen tersebut.

"Alhamdulillah sebagai seorang selebriti dan sahabat, Azwan Ali menerima baik dan berbesar hati menerima  penjelasan saya serta berterima kasih kepada saya kerana mengingatkan rakan-rakan lain di Telegram agar berhati-hati dalam menulis komen.

"Saya reda kerana tujuan saya adalah untuk memberi peringatan kepada rakan-rakan di dalam group tersebut, bukan untuk mencari gaduh dan musuh dengan sesiapa," katanya.

Mac Ruhayu, Seniman, Telegram

Artikel Lain