suria

Sarah Suhairi masih kuarantin di rumah, belum dapat keputusan ujian saringan selepas pulang dari London

Sarah sudah pulang dari London sejak 28 Mac lalu.

SELEPAS pulang dari London pada 28 Mac lalu, penyanyi Sarah Suhairi serta seluruh ahli keluarganya menjalani kuarantin di rumah mereka seperti yang disarankan kerajaan.

Menurut Sarah, 20, dia dan keluarganya sudah melakukan ujian untuk memastikan tidak dijangkiti wabak Covid-19 setiba sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

ARTIKEL BERKAITAN: Sarah Suhairi ke London atas urusan keluarga - “Doakan saya baik-baik saja”

Kata Sarah, sepatutnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memaklumkan mengenai keputusan ujian tersebut pada Jumaat atau Sabtu lalu namun sehingga kini masih belum menerima panggilan berhubung perkara itu.

Sarah menjalani kuarantin bersama keluarga di rumah selama 14 hari.

"Alhamdulillah, saya dan keluarga tiba di KLIA pada 28 Mac lalu dan kami perlu isi beberapa borang untuk pastikan alamat tempat yang akan kuarantin dan juga terus lakukan ujian.

"Selesai saja urusan, kami terus pulang ke rumah untuk jalani kuarantin selama 14 hari seperti yang disarankan kerajaan. Untuk keputusan ujian itu, KKM kata akan call hari Jumaat atau Sabtu lalu.

"Tapi sehingga kini, saya dan keluarga tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak KKM. Harap-harap ia bermaksud kami tidak dijangkiti virus itu," katanya kepada mStar.

Sehingga kini, saya dan keluarga tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak KKM.

SARAH SUHAIRI

PENYANYI

Menerusi laporan mStar pada 20 Mac lalu, Sarah mengakui dia dan keluarga pergi bercuti di London, United Kingdom sebelum perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas urusan keluarga.

Sarah turut menjelaskan mereka sekeluarga tinggal di rumah saudaranya dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang berada di sana.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Rise And Fall ini menyedari tindakannya itu mengundang kecaman netizen namun menganggap setiap keluarga sudah mempunyai perancangan tersendiri.

Sarah menyedari tindakannya meneruskan percutian ke London mengundang rasa kurang senang netizen.

"Sebenarnya saya memang menyedari perkara ini sedikit sebanyak akan mengundang rasa kurang senang netizen. Tapi itulah, bagi saya setiap keluarga ada perancangan sendiri.

"Memang sepatutnya keluarga saya dah nak batalkan trip ke London ini tapi sebabkan mak cik saya yang berada di sana menjelaskan keadaan masih terkawal, jadi kami pun teruskan perancangan.

"Lagipun, perancangan untuk melawat saudara mara di sana ini sudah lama dan kebetulan semua keluarga dapat ikut serta," ujarnya. 

Artikel Lain