suria

Mira Filzah dedah sudah berpunya, ada persetujuan keluarga - “Dalam Islam kira dah bertunang la tu”

Mira mengaku sudah berpunya dan keluarga masing-masing sudah bertemu.

TEKA-TEKI mengenai status pelakon Mira Filzah terjawab apabila dia mengesahkan hatinya sudah dimiliki seseorang dan kedua-dua keluarga telah bertemu bagi membincangkan mengenai hubungan mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Mira ketika bersiaran langsung dalam program bual bicara santai bersama Ustazah Asma' Harun di laman Facebook pendakwah itu pada Ahad.

Menerusi siaran tersebut, Mira menjawab soalan yang diajukan oleh Ustazah Asma mengenai teman lelaki dan pertunangan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Selagi tak keluar dari mulut saya, jangan buat andaian” - Mira Filzah komen gosip sedang bercinta

"Iya... dah berpunya! Bertunang? Kiranya tapi sudah berjumpa dan berbincang sesama keluarga," jawab Mira ringkas.

Selepas mendengar jawapan pelakon filem Sangkar itu, Ustazah Asma segera menjelaskan menurut agama Islam, persetujuan sesama keluarga merupakan antara tanda ikatan pertunangan.

Antara pengisian bual santai Mira Filzah bersama Ustazah Asma yang menarik perhatian peminat.

"Dalam Islam, kalau dah ada persetujuan itu kira dah bertunang la tu... dah ada ikatan perjanjian persetujuan dengan keluarga cuma mungkin dari sudut adat belum lagi.

"InsyaAllah kita doakan Allah mempermudahkan tahun 2020 ni juga Mira akan bergelar isteri mendirikan rumah tangga... kita sama-sama doakan," kata ustazah.

Klip video perbualan tersebut dikongsi semula oleh pengguna diTwitter dan Instagram.

Pada Februari lalu, beberapa blog hiburan melaporkan mengenai gosip kononnya Mira sudah dirisik dan bakal mengadakan majlis pertunangan pada September depan.

Lebih menguatkan spekulasi apabila tersebar foto Mira bersama seorang jejaka dikenali sebagai Wan Emir yang juga merupakan anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Bagaimanapun, Mira memilih untuk terus mengunci mulut mengenai gosip tersebut.

Mira Filzah

Artikel Lain