suria

PU Amin hulur bantuan RM20,000 kepada guru agama hilang pendapatan - “Ada nak makan tak cukup duit, tiada gaji dan elaun”

PU Amin mencari guru agama yang memerlukan bantuan kerana hilang sumber pendapatan.

SIMPATI dengan nasib guru agama yang hilang sumber pendapatan akibat penularan wabak Covid-19, Pencetus Ummah (PU) Amin berkata dia terpanggil untuk membantu golongan tersebut.

PU Amin mendedahkan ada antara mereka berdepan kesempitan hidup kerana tiada upah pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Justeru itu, dia terpanggil untuk berkongsi rezeki dan membantu meringankan beban pendidik yang juga merupakan sebahagian tenaga pendakwah agama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berhenti guna nama ustaz untuk memuliakan diri!” - PU Amin kecewa tugas dakwah tercemar kerana kontroversi

"Tak sanggup nak baca kisah mereka! Susah hidup sebagai guru agama, ada nak makan tak cukup duit, pampers anak tak boleh beli, gaji, elaun tak ada.

"Mereka ikhlas buat kerja agama dan saya harap dengan bantuan ini dapatlah saya berkongsi berkat ilmu mereka semua.

PU Amin kagum semangat guru agama menyebarkan dakwah.

"Saya berkongsi sedikit rezeki ini tanda terima kasih atas usaha mereka menjalankan kerja dakwah dengan ikhlas dan semoga ada sedikit senyuman buat mereka," katanya.

Menyedari masih ramai yang memerlukan bantuan terutamanya di kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung, PU Amin berkata dia sedang mencari lebih ramai lagi guru agama yang memerlukan bantuan.

"Saya bajet tak banyak dalam RM20,000 sahaja dan kita sudah serahkan kepada hampir 40 penerima.

"Besar harapan dapat beri lagi bantuan wang tunai ini kepada mereka terutamanya guru-guru agama, ustaz dan ustazah yang menghabiskan masa berdakwah dengan mengambil sedikit upah untuk menyara hidup mereka sebelum ini," ujarnya.

Peminat memuji usaha PU Amin beri bantuan kepada yang memerlukan.

Sementara itu, menerusi laman Instagram, PU Amin turut berkongsi foto aktiviti semasa menyerahkan bantuan kepada beberapa individu yang memerlukan.

Tindakannya itu menerima pujian pengikut sehinggakan ada yang meluahkan perasaan sebak apabila mengetahui masih ada masyarakat yang hidup dalam kemiskinan.

"Alhamdulillah... kita bernasib baik dari orang susah dan bersyukur Allah baru duga kita sedikit belum lagi dengan peperangan dan kemiskinan seperti negara lain.

"Syukur PU Amin membantu... rasa sebak tengok gambar ini semua," kata pengikut.

PU Amin

Artikel Lain