suria

Sebulan bergelar duda, Alha Alfa dedah ramai wanita cuba nasib - “Ada makcik yang mahu jadikan menantu”

Alha dedah ada wanita cuba melamarnya di laman sosial.

SETELAH hampir sebulan memegang status duda, jurusolek terkenal, Datuk Alha Alfa mendedahkan dia menerima pelbagai mesej daripada individu tidak dikenali yang menyatakan hasrat menjadikannya sebagai suami.

Cerita Alha, ada juga ibu bapa yang ingin menjadikannya menantu tanpa perlu mengeluarkan belanja hantaran yang tinggi.

"Selepas saya umumkan sudah bercerai dengan isteri, saya bukan sahaja dihujani mesej kecaman netizen, malah sampai sekarang saya turut menerima mesej lamaran daripada individu tidak dikenali.

ARTIKEL BERKAITAN: Alha Alfa sah bercerai selepas enam bulan berkahwin - “Saya lepaskan dia... tak nak dia kemurungan dan stres”

"Ada yang menyatakan hasrat ingin saya menjadi suami mereka dan sanggup susah senang bersama... lebih mencuit hati apabila ada makcik dan pakcik yang tawarkan saya berkahwin dengan anak mereka tanpa wang hantaran dan tidak perlu diadakan sebarang majlis.

"Sejujurnya, untuk cari pengganti belum terfikir lagi buat masa ini... kalau sekadar kenal-kenal untuk berkawan itu bolehlah! Bukan mudah untuk cari teman hidup, bekas isteri dulu pun lima tahun kami berkawan sebelum berkahwin," katanya kepada mStar.

Alha berkahwin dengan Noor Azlin pada 28 September tahun lalu dan bercerai pada awal Mac lalu.

Pada 22 Mac lalu, industri hiburan kecoh apabila Alha mendedahkan mahligai perkahwinan yang dibina bersama isteri, Noor Azlin Ismail hanya bertahan selama enam bulan.

Alha memberitahu perbezaan usia dan faktor kerjaya menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

Berita mengejutkan itu menjadi perbualan hangat masyarakat dan Instagram miliknya dibanjiri dengan pelbagai komen netizen.

Selepas saya buat pengumuman itu, saya dikecam teruk netizen, saya akui menangis sendirian dalam bilik!

DATUK ALHA ALFA

JURUSOLEK & USAHAWAN KOSMETIK

Selepas tular kisah penceraiannya itu, Alha berkata dia mengurungkan diri dan mengambil keputusan untuk tidak membaca komen yang ditinggalkan netizen di laman sosial.

"Selepas saya buat pengumuman itu, saya dikecam teruk netizen, saya akui menangis sendirian dalam bilik... mujurlah ada kakak yang datang menemani!

"Bagaimanapun, masih ada kawan-kawan termasuklah rakan artis yang beri semangat dan minta saya kuatkan diri berdepan ujian ini sampaikan saya tak sangka orang yang saya tak pernah kenal pun beri sokongan.

Alha tidak serik untuk bercinta dan berkahwin lagi.

"Sekarang ini keadaan semakin baik dan saya dah boleh melalui kehidupan dengan lebih tenang. Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya dan Allah lebih tahu disebalik apa yang terjadi," ujarnya.

Bercakap mengenai aktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Alha berkata dia menghabiskan masa di rumah dan merangka perancangan perniagaan akan datang.

"Saya ni memang jenis tak boleh duduk diam, jadi mulalah memasak sikit-sikit, buat biskut dan perkuatkan lagi perniagaan produk kecantikan secara dalam talian.

"Ikutkan bulan ini memang job mekap penuh tapi semuanya terpaksa ditangguh... jadi apabila PKP ini berakhir, jadual saya memang dah penuh dengan majlis perkahwinan mereka yang ditunda itu.

"Alhamdulillah, walaupun outlet ditutup, namun permintaan produk sepanjang tempoh ini memberansangkan dan masih baik... terima kasih atas sokongan semua pelanggan," katanya.

Alha Alfa

Artikel Lain