suria

Drama Band buat hal lagi, lancar lagu sindir 'kluster kayangan' - “Teguran untuk mereka yang tiada adab!”

Drama Band menggunakan lagu Kayangan untuk menegur sikap golongan kluster kayangan.

GOLONGAN kluster kayangan kini menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial selepas petugas barisan hadapan berkongsi pengalaman terpaksa berhadapan dengan rungutan 'demand' mereka.

Berikutan itu, kumpulan yang terkenal dengan lagu sindiran iaitu Drama Band tampil dengan lagu berjudul Kayangan yang sememangnya ditujukan khas untuk golongan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster kayangan terbiasa layanan VVIP, sampai sanggup ugut doktor – “Suruh jaga jarak, dia siap ajak member lain vaping sekali”

Menurut vokalis Drama Band, Aepul Roza, dia sudah bersedia sekiranya lagu itu menerima kecaman netizen namun baginya ia sekadar untuk menyuarakan pendapat mereka.

Lagu Kayangan yang dilancarkan pada Selasa kini mendapat lebih 19,000 tontonan.

"Sebenarnya saya dah bersedia jika ada pihak yang kecam sebab keluarkan lagi lagu berbaur sindiran. Bagi saya, sampai bila nak hidup dalam 'takut' untuk menyuarakan apa dalam hati kita?

"Alhamdulillah, buat masa sekarang ini saya lihat lagu ini dapat diterima pendengar dan rata-ratanya setuju dengan lirik dalam lagu tersebut.

"Saya buat keputusan untuk memulakannya agar mungkin ada orang lain yang dapat jadikan ini contoh untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya kepada mStar.

Lagu tersebut telah mula dilancarkan di saluran YouTube pada Selasa dan sehingga kini mendapat hampir 20,000 tontonan.

Idea untuk cipta lagu ini selepas melihat tweet fronliners yang mengadu mengenai kluster itu.

AEPUL ROZA

VOKALIS DRAMA BAND

Dalam pada itu, Aepul memberitahu idea lagu itu mula tercetus selepas melihat perkongsian petugas kesihatan mengenai sikap buruk golongan kluster kayangan di Twitter.

"Idea untuk cipta lagu ini selepas melihat tweet fronliners yang mengadu mengenai kluster itu. Ada yang kurang adab sampai menghina mereka. Jadi, lagu ini hanya teguran untuk mereka," ujarnya.

Kebelakangan ini kita kerap kali disajikan dengan kisah perkongsian petugas di barisan hadapan yang menghadapi pelbagai ragam dan karenah golongan yang digelar kluster kayangan iaitu segelintir rakyat Malaysia yang pulang daripada luar negara semasa wabak Covid-19.

Bukan setakat itu, malah lebih teruk apabila ada segelintir daripada golongan itu yang tergamak mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas sewaktu proses pengambilan sampel dijalankan.

Artikel Lain