suria

Dah lebih 500,000 tontonan! Nabila Razali terkejut lirik video 'Peluang Kedua' tiba-tiba hilang dari Youtube

Nabila Razali lega masalah teknikal membabitkan lirik video single terbaharunya dapat diselesaikan beberapa jam selepas hilang dari Youtube.

PENYANYI Nabila Razali terkejut apabila mengetahui lirik video lagu terbaharunya berjudul Peluang Kedua yang dimuat naik di laman Youtube hilang dengan tiba-tiba pada petang Jumaat.

Menurut Nabila, dia menerima maklumat dan mesej daripada peminat memaklumkan video itu tidak dapat dicari setelah menerima lebih 500,000 tontonan.

"Saya baru tahu apabila ada yang mesej bertanya dan beritahu lirik video itu hilang dari laman Youtube.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih tegur...” - Nabila Razali mengaku buat kesilapan bacaan Al-Quran dalam drama 'Pesan Pada Hati'

ARTIKEL BERKAITAN: “Suara bodoh tu macam mana?” - Nabila Razali sedia dikecam bukan dengan perkataan kesat

"Kita percaya mungkin ada sedikit masalah teknikal berlaku, jadi pihak pengurusan sedang cuba menyelesaikan isu ini dan berharap ia akan kembali normal seperti biasa.

"Sedih juga kerana ramai yang dah lama tunggu nak dengar lagu ini dan setelah sehari dimuat naik ia menerima lebih 500,000 tontonan," katanya kepada mStar.

Sementara itu, Nabila turut menafikan kehilangan video tersebut daripada laman Youtube merupakan sebahagian gimik untuk mempromosikan Peluang Kedua.

Nabila lancar lagu baharu Peluang Kedua.

"Ini bukan gimik, zaman gimik dah berlalu. Saya pun tak pasti apa punca video itu hilang tapi kita yakin InsyaAllah masalah ini akan dapat diselesaikan. Laman Youtube saya baru sahaja diwujudkan empat hari lalu dan ada beberapa masalah teknikal yang di luar kawalan kami.

"Orang ramai dah dengar teaser lagu ini sejak drama Seindah 7 Warna Pelangi bersiaran bulan Mac lalu. Malah, ramai peminat dan rakan artis yang buat cover lagu ini, mungkin itu dah membantu promosi lagu tersebut," ujarnya.

Single kelima berjudul Peluang Kedua merupakan ciptaan sepenuhnya Hael Husaini.

Lirik video telah dimuat naik di laman Youtube Nabila Razali Entertainment sejak Khamis lalu mendapat lebih 1000 nyanyian semula (cover) sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada Khamis.

Peluang Kedua boleh didengari menerusi semua platform digital pada Jumaat depan.

Bagaimanapun, selepas beberapa jam hilang di Youtube, lirik video tersebut sudah boleh dilayari semula di laman tersebut.

Nabila Razali, Peluang Kedua

Artikel Lain