SETELAH dua tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Fattah Amin mengumumkan isterinya yang juga aktres Nur Fazura kini hamil empat bulan. Menurut Fattah, 30, rezeki zuriat ini merupakan antara kurniaan yang paling dinantikan olehnya sepanjang bergelar suami. "Setelah melayari perkahwinan kami selama dua tahun, kami ingin berkongsi berita yang amat mengembirakan. ARTIKEL BERKAITAN: Kalau ditanya sejauh mana dia bahagia, kata Fattah tahap 100 "InsyaAllah dengan izin Allah SWT kami bakal menimang cahaya mata kami yang pertama. Kandungan Fazura kini dalam bulan keempat. "Alhamdulillah, kami sentiasa yakin akan peraturan Allah dan sesungguhnya ini merupakan waktu yang paling tepat bagi kami dikurniakan zuriat yang amat membahagiakan ini," katanya. Fattah berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram miliknya pada Jumaat. Fattah bahagia layari rumah tangga selama dua tahun. Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel pada 27 November 2017. Dalam pada itu, pasangan pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan perhubungan mereka. Malah, dia mengakui kehidupannya bahagia semenjak berkahwin dan melalui setiap detik kehidupan dengan penuh kesyukuran. "Tiada yang lebih diutamakan dalam hidup kami sekarang melainkan yang tersayang. "Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan memberikan ucap selamat kepada kami selama ini. "Kami amat mensyukuri setiap detik dalam fasa ini dan hari-hari indah yang akan datang. InsyaAllah. Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi dari hati kami berdua!," ujarnya. Sementara itu, Fazura pula meluahkan rasa syukur kerana kandungannya berada dalam keadaan baik-baik sepanjang trimester pertama. "Dalam kondisi yang kita hadapi sekarang ini, saya sedang berehat di rumah. "Alhamdulillah, saya bersyukur tidak mempunyai sebarang alahan yang teruk setakat ini dan saya sangat teruja untuk menghadapi hari mendatang," katanya.