suria

Haziq dah tak perlu tongkat... tolong ibu berniaga sepanjang PKP - “Dari duduk rumah sahaja, baik cari duit lebih!”

Haziq bantu ibunya, Linda Eva di dapur memasak juadah daging dendeng sebelum dijual kepada pelanggan.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah penghalang untuk bekas vokalis kumpulan Putera Band, Haziq dan ibunya yang juga penyanyi, Linda Eva menambah sumber pendapatan dengan melakukan perniagaan makanan dari rumah.

Haziq, 20, berkata sepanjang tempoh PKP ini, dia bersama ibunya memulakan perniagaan sambal daging dendeng yang boleh dibeli oleh pelanggan secara cash on delivery (COD) atau khidmat pos.

"Alhamdulillah, PKP ini bukan duduk rumah sahaja, kami buat perniagaan kecil-kecilan di rumah bagi menambah pendapatan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki Haziq bekas vokalis Putera Band semakin sembuh, dah boleh bergerak guna tongkat!

"Kami menjual juadah istimewa iaitu daging dendeng dan asam pedas daging... itu menu utama! Kalau ada pelanggan mahu menu lain kita turut sediakan ikut kehendak mereka.

"Alhamdulillah sambutan sangat baik, dalam sehari banyak juga tempahan yang diterima... kalau kawasan dekat-dekat rumah selalunya emak yang akan hantar ke pelanggan, kalau agak jauh kebiasaannya kita hantar melalui pos," katanya kepada mStar.

Haziq bantu ibunya berniaga dari rumah.

Memandangkan keupayaan kakinya untuk bergerak agak terhad, Haziq berkata dia hanya mampu membantu menyediakan bahan masakan dan pembungkusan sahaja.

"Pagi-pagi emak akan hantar tempahan secara COD ke rumah pelanggan, selepas selesai semua barulah kami memasak untuk tempahan berikutnya.

"Seronok juga meniaga dari rumah ni, sambil-sambil berehat boleh jana pendapatan dan cari duit lebih," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi lagu Rebahku Tanpamu ini memberitahu keadaan kakinya semakin baik dan sudah memerlukan bantuan tongkat untuk berjalan.

Haziq maklumkan sudah boleh berjalan tanpa bantuan tongkat.

"Kaki sekarang dah okay, boleh berjalan macam biasa, tak ada rawatan khusus dari hospital lagi, cuma mungkin selepas PKP ini akan ada beberapa rawatan pemulihan untuk saraf.

"Dah tak perlu makan ubat, tongkat pun dah tinggal! Kalau duduk saja tak bergerak mulalah kaki rasa sakit, jadi kena rajin berjalan.

"Memandangkan PKP tak boleh keluar jadi saya ulang-alik sahajalah dalam rumah," katanya yang baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Jalan Benar merupakan kerjasama dengan sahabat baiknya, Ell dan D Spade.

Pada 5 Julai tahun lalu, Haziq terlibat dalam kemalangan ketika membonceng motosikal bersama rakannya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan kaki kanan cedera teruk akibat salur darah putus.


Haziq Putera Band, Linda Eva

Artikel Lain