SELEPAS hampir satu tahun bercerai, bekas isteri kepada vokalis kumpulan OAG, Radhi iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri kini sudah bertemu pengganti. Biarpun enggan berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Nur Shahira Ayu, 26, mengakui ada perancangan untuk berkahwin. ARTIKEL BERKAITAN: Radhi OAG tukar fakta, sah ceraikan isteri sejak Mac Menurut Nur Shahira Ayu atau lebih dikenali sebagai Ayu, dia masih belum menetapkan tarikh untuk hari bahagiannya kerana mahu menunggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir. Ayu sudah ada perancangan untuk berkahwin dengan teman lelakinya. "Ya... saya sudah mempunyai seseorang yang sangat istimewa dalam hidup saya. Bila dan bagaimanapun kami kenal itu, biarlah rahsia. Tak perlu saya nak kongsikan semuanya. "Yang pasti, dia seorang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Saya berharap semua orang boleh mendoakan yang baik-baik untuk saya dan dia. "Kalau ikutkan perancangan nak kahwin itu memang dah ada. Tapi semuanya bergantung selepas tempoh PKP tamat. Sekarang ini pun kita tak tahu situasi negara macam mana. Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya bersama anak-anak dan sekarang pun saya sudah mula berniaga. NUR SHAHIRA AYU BEKAS ISTERI RADHI OAG "Takut nanti saya dah buat persediaan semua, tapi tak boleh nak kahwin. Jadi, apa-apa pun kena tunggu langkah seterusnya daripada kerajaan selepas ini," katanya kepada mStar. Ayu dan Radhi mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Julai tahun lalu. Hakim Syarie Husaini Roslin mengesahkan lafaz cerai yang dibuat Radhi atau Muhammad Radhi Razali, 42, pada 25 Mac tahun lalu. Foto kenangan Ayu bersama anak-anak dan bekas suaminya, Radhi. Radhi dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan mereka dikurniakan sepasangan cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 5, serta Muhammad yang kini berusia empat tahun. Dalam pada itu, Ayu meluahkan rasa syukur kerana mempunyai kehidupan yang lebih bahagia bersama anak-anak dan akan memulakan perniagaan tudung pada hujung tahun ini. "Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya bersama anak-anak dan sekarang pun saya sudah mula berniaga. Saya ada buka perniagaan sendiri iaitu tudung bawal. "Tudung itu juga mempunyai batu kristal Swarovski yang saya berikan nama ShafiraExclusive. Insya-Allah perancangan untuk lancarkan koleksi itu pada hujung tahun ini," ujarnya.