MESKIPUN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuatkuasa, namun itu bukan penghalang untuk pasangan pelakon Ayda Jebat dan Nabil Mahir mengikat tali pertunangan secara dalam talian (online). Menerusi laman Instagram, Nabil berkongsi foto dan beberapa rangkap pantun memaklumkan mereka sudah selamat bertunang pada Selasa. Dia turut meminta peminat dan orang ramai mendoakan agar hubungan mereka itu berkekalan sehingga ke jenjang pelamin. ARTIKEL BERKAITAN: “I said yes!” - Ayda Jebat tayang cincin, terima lamaran Nabil Mahir "Walaupun PKP cinta tidak terhenti, kumpulkan ahli keluarga di depan kamera, selesai sudah majlis meminang dan pertunangan online kami, harap doa yang baik-baik dari semua. Gambar ini fully edited ya!," katanya. Perkongsian Nabil di Instagram. Dalam foto yang dikongsi itu, kelihatan Nabil mengenakan baju Melayu dan Ayda Jebat pula cantik mengenakan baju kurung dengan warna sedondon. Dalam pada itu, bekas pengacara program Hlive ini memaklumkan akan berkongsi lebih lanjut mengenai majlis tersebut di akaun Youtube mereka, Wuvvshow. Rata-rata pengikutnya di laman tersebut mengucapkan tahniah dan mendoakan supaya pasangan ini mendirikan rumah tangga secepat mungkin. Ayda pernah berkongsi cincin lamaran yang diberikan oleh Nabil. Sementara itu, menjengah ruangan Instastory Ayda Jebat, penyanyi lagu Temberang itu ada berkongsi beberapa foto dipercayai berkaitan dengan majlis pertunangan tersebut. Kisah perhubungan pasangan selebriti ini mula menjadi perbualan hangat netizen apabila Ayda berkongsi foto cincin lamaran yang diterimanya semasa ulang tahun kelahiran ke-28 pada 18 Mac lalu. Sebelum ini, Nabil menerusi laporan mStar mengakui mempunyai hubungan rapat dengan Ayda, malah dia turut merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini.