BERTEPATAN dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program Sembang Sahur telah menggantikan segmen Singgah Sahur kepada Singgah Ramadan. Ia bersesuaian dengan objektif kempen Setulus Ikhlas memulihkan semangat petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Siaran langsung Sembang Sahur tahun ini diterajui oleh penerbit eksekutif Kalijahwati Md Kassim dan penerbit Fariha Onn di samping pengacara ceria seperti Haziq Hussni, Teh Syuhaida, Zack Merican, Dayah Bakar, Hazlin Hussin, Hanif Miswan, Fariha Onn dan Irin Putri. Mereka juga dibantu barisan Da’i yang terdiri daripada Da’i Luqman, Da’i Aiman, Da’i Hakim, Da’i Hadhari, Da’i Adam dan Da’i Hidayu. Selebriti lain yang turut menceriakan suasana Sembang Sahur ini adalah Ernie Zakri, Fahrin Ahmad, Amyra Rosli, Izzue Islam, dan ramai lagi. Antara topik menarik yang akan dibincangkan adalah berkaitan tanggungjawab sosial menangani krisis, beribadah dalam darurat, taubat sementara, Ramadan bulan bina taqwa, momentum terawih dan banyak lagi. Sembang Sahur mengupas pelbagai isu dan dakwah agama sepanjang Ramadan. Program ini semakin menarik pada setiap hari Khamis apabila Ustaz Zarifi Daud yang merupakan ustaz selebriti tanah air membicarakan topik berkaitan inspirasi ‘zero to hero’ di mana beliau akan turun padang diiringi oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendekati para petugas barisan hadapan. Ustaz Zarifi berkata dia bersyukur dapat diberikan peluang merasai pengalaman memakai pakaian khas dan memberikan bimbingan jiwa dan rohani kepada para petugas barisan hadapan. "Pada episod pertama saya bersama rakan-rakan seperti ahli bomba, NGO, dan sebagainya turun padang untuk menjalankan sanitasi awam di beberapa tempat seperti masjid dan premis di kawasan pandan indah. "Apabila saya turun membantu saya perlu memakai set pakaian khas iaitu PPE (alat pelindung diri) dan alhamdulillah saya dapat merasai pengalaman memakai pakaian itu... ianya sangat panas ya. Ustaz Zarifi merasai pengalaman mengenakan pakaian PPE. "Selain daripada itu, kita sebagai pendakwah yang berjumpa secara langsung barisan hadapan ini boleh memberikan bimbingan jiwa dan rohani untuk membina ketahanan dalaman mereka, ” katanya. Dalam pada itu penerbit program Sembang Sahur, Fariha Onn memberitahu bahawa pengisian program ini perlu ditukar mengikut keadaan semasa kerana bimbang mengenai keselamatan semua pihak yang terlibat. "Sebenarnya pengisian program ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya, namun pada masa ini kita tidak boleh turun padang memberikan sahur seperti dulu jadi terpaksa ditukar mengikut keadaan semasa kerana bimbang mengenai keselamatan semua orang yang terlibat, ” ujarnya. Program Sembang Sahur ini mempunyai 12 episod yang bersiaran setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis pada pukul 11.00 malam bermula 28 April di TV3 dan juga Facebook live Sembang Sahur. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!