SELEPAS hampir sebulan dikuarantin dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19, Ashraf Muslim berkongsi berita gembira apabila dibenarkan pulang pada Khamis.Ashraf berkata, dia tidak dapat menahan sebak kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan pesakit Covid-19 yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri.ARTIKEL BERKAITAN: Ashraf Muslim sebak, tak selera makan tonton video kiriman isteri - “Malam ini paling bersejarah dalam hidup saya” "Masanya sudah tiba. Berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabatku di wad ini. Mereka telah ku anggap sebagai keluargaku... Allahuakbar... tak boleh nak terjemahkan perasaan ini. "Tiga hari sebelum balik memang sayu untuk tinggalkan wad. Saya mohon maaf kepada pakcik, abang-abang dan adik-adik warga Wad 31 dan rakan-rakan doktor dan nurse yang menjaga saya dan rakan-rakan saya disini dan juga berterima kasih kerana terima saya dan rakan-rakan saya seadanya. Ashraf sebak sebelum meninggalkan Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh. "Tak lupa juga kepada mereka yang menyumbang makanan dan minuman kepada kami disini. Semoga Allah murahkan rezeki kalian semua," ujar Ashraf. Pelakon berusia 38 tahun itu berkata dia disahkan negatif Covid-19 sehari sebelum Ramadan tetapi memilih untuk tinggal lebih lama kerana ingin mengerjakan ibadah bersama-sama pesakit. "Sebenarnya, saya sudah lama negatif pada sehari sebelum Ramadan dan saya memilih tinggal di wad 31 untuk kuarantinkan diri di wad. "Banyak sebab keputusan ini dibuat dan yang paling penting ialah saya dapat mengerjakan solat berjemaah pada bulan Ramadan dan ibadah yang dapat dibuat bersama-sama dengan pesakit. Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang," katanya. Menerusi video tersebut, Ashraf bersyukur dipilih oleh Allah untuk melalui pengalaman berharga ini. "Banyak cerita, banyak pengalaman, banyak perkongsian dilakukan bersama dimana pesakit-pesakit semuanya datang dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang tapi hanya satu sahaja yang kami inginkan iaitu ‘ketenangan’. "Terima kasih Allah kerana memilihku sebagai pesakit Covid-19. Syukur kepadamu ku merasa nikmatnya," jelas pelakon itu di postingnya. Pada 12 April lalu, Ashraf dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh setelah disahkan positif Covid-19. Pelakon ini dipercayai dijangkiti virus tersebut setelah pulang dari menjalani penggambaran drama di Scotland pada 31 Mac lalu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!