suria

Syanie selamat jalani pembedahan buang rahim dan ovari selama 7 jam - “Fikiran bercelaru hanya fikir perkara buruk”

Syanie selamat menjalani pembedahan membuang rahim dan ovari pada 29 April lalu.

PELAKON Syanie meluahkan rasa syukur apabila selamat menjalani pembedahan membuang rahim dan ovari pada Rabu lalu.

Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham, berkata, pembedahan yang sepatutnya mengambil masa tiga jam itu berlanjutan selama tujuh jam sebelum keadaanya stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pereka Fesyen Berebut Taja Baju Kahwin Syanie

"Pada 29 April lalu, saya telah menjalani pembedahan rahim dan ovari yang saya sendiri tak pernah terfikir akan melaluinya. Terdapat masalah pada ovari dan uterus saya yang perlu dibuang.

"Pembedahan yang disangka mengambil masa tiga jam hanya selesai dalam masa tujuh jam dan berada di ICU dalam keadaan baik.

Syanie syukur pembedahan berjalan lancar.

Berkongsi perkara itu, Syanie berkata, biarpun dia pernah melalui beberapa kali pembedahan, namun dia tetap berasa takut untuk menjalaninya kali ini.

Katanya faktor usia dan saiz badannya membuatkan dia memikirkan pelbagai risiko yang boleh berlaku sepanjang pembedahan itu.

"Bagaimanapun, dengan usia dan saiz begini, saya sangat takut dengan apa yang bakal berlaku. Ya, saya mungkin telah menjalani banyak pembedahan berbanding orang lain.

"Mungkin ada yang terfikir saya sudah terbiasa dengan situasi begini tapi percayalah, kali ini ia sangat berbeza.

Ibu pesan supaya jangan bersedih dan sentiasa ingat Allah, zikir dan selawat

SYANIE HASHIM

PELAKON

"Fikiran saya ketika itu bercelaru dan hanya fikirkan perkara yang terburuk boleh terjadi" ujarnya.

Syanie yang menyambut ulang tahun ke 46 pada Khamis terharu dengan kasih sayang dan kata-kata semangat daripada ahli keluarga yang sentiasa berada di sisi.

"Saya bersyukur keluarga saya ada bersama terutamanya adik saya, Ayin yang asyik marahkan saya (cara dia menunjukkan seolah-olah dia kuat walaupun saya tahu dia juga sedang bersedih) dan menyuruh saya untuk berfikiran positif dan sentiasa ingat pada Allah.

"Satu-satunya perkara yang membuat saya sebak apabila ibu berkata yang ibu boleh cari duit tapi tidak akan jumpa anak perempuan seperti saya jadi ibu pesan supaya jangan bersedih dan sentiasa ingat Allah, zikir dan selawat.

"Tak lupa juga adik beradik yang lain serta ipar duai. Mereka semua ada cara masing-masing dalam menunjukkan perasaan sayang terhadap saya. Mereka juga akan pastikan saya sentiasa tenang," ujar Syanie.

Selain itu, Syanie berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatanya dan berharap kesihatannya kembali pulih seperti biasa.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dan terus menyokong saya, kepada doktor-doktor yang saya anggap seperti hero, keluarga kerana menyayangi, menjaga dan meyakinkan saya.

"Terima kasih Ya Allah untuk timeline baru yang Engkau berikan. Saya berdoa dan berharap agar ia menjadi sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Syanie Hisham,

Artikel Lain