suria

Selepas 34 tahun, Ras Adiba akhirnya tinggalkan dunia penyiaran - “Kalbu saya teresak menangis kerana inilah pengakhirnya”

Ras Adiba sedih terpaksa meninggalkan dunia penyiaran.

PERSONALITI televisyen Ras Adiba Tadzi membuat pengumuman bahawa dia bakal meninggalkan dunia penyiaran selepas 34 tahun berkhidmat dalam bidang tersebut.

Ras Adibah, 52, berkata tugasan sebagai penyelaras pakaian, wartawan siaran, pengulas sukan, penerbit dan penyampai berita memberi kenangan terindah buatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah tak tahan, saya tiada daya lagi” – Ras Adiba diserang sakit tulang belakang

"Setelah 34 tahun, saya bakal tinggalkan sesuatu yang saya kasihi dan dikasihi. Saya hidup makan, lena dan bertugas sebagai penyelaras pakaian, wartawan siaran, pengulas sukan, penerbit dan penyampai berita.



Ras membuat pengumuman itu menerusi Instagramnya.

"Sejak 1986 di Jalan Liku, saya menjadi penyampai berita termuda negara. Saya seronok apabila diberi tugasan luar dan membaca berita. Ianya hidup saya.

"Teruja sungguh apabila mendengar kiraan saat untuk ke udara dan sejurus lampu dinyalakan. Namun hari ini adalah hari yang saya tahu akan jelang tetapi tidak tahu kapan akan tibanya," katanya.

Ras Adibah berkongsi perkara tersebut di laman Instagram selepas selesai tugasan pembaca berita di NTV7 pukul 8 malam, Jumaat.

Maaf kerana saya terpaksa berundur, bukan kerana tidak sayang tetapi kerana rancangan Illahi sudah tersusun rapi.

RAS ADIBA

PERSONALITI TV

Biarpun rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan akan merinduinya namun mereka turut mendoakan Ras berjaya dalam hidupnya.

Dalam pada itu, Ras mengakui buat mudah baginya untuk membuat keputusan bersara daripada bidang tersebut dan memohon maaf kerana terpaksa berundur.

"Saya adalah seorang pemberita selamanya dan berat sungguh untuk saya buat keputusan ini. Saya harus tinggalkan kamu aduhai, jiwa saya.



Ras sedih terpaksa berundur daripada karier yang sudah sebati dalam hidupnya.

"Dan malam ini pukul 8 di NTV7, berakhirlah sudah kisah cinta kita. Apabila dengan perlahan saya cabut keluar mikrofon yang tersemat di kolar jaket dan alat pendengaran dari dalam telinga saya.

"Kalbu saya teresak menangis kerana inilah pengakhirnya. Terima kasih TV3, terima kasih NTV7. Maaf kerana saya terpaksa berundur, bukan kerana tidak sayang tetapi kerana rancangan Illahi sudah tersusun rapi.

"Apa mungkin saya akan dirindui?" ujarnya.

Untuk rekod, Ras mengalami masalah kesihatan membabitkan tulang belakang yang berpunca daripada kemalangan jalan raya pada 1996 dan dia disahkan lumpuh separuh badan pada 2002.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ras Adiba, NTV7, TV3,

Artikel Lain