suria

Almy Nadia alami pendarahan vagina, terpaksa gugur kandungan usia empat minggu - “Ada darah beku pada rahim seperti ulser”

Almy (gambar kiri) sebelum dibawa masuk ke bilik pembedahan pada petang Khamis.

DIJANGKA hamil empat minggu, pelakon Datin Almy Nadia dipercayai keguguran setelah mengalami pendarahan pada rahim sejak 22 Mei lalu.

Suaminya, Datuk Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, berkata pendarahan yang dialami berlaku ketika isterinya berada di rumah, dua hari sebelum sambutan Aidilfitri pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Allah lebih sayangkan anakku... papa reda” - Almy Nadia keguguran kandungan berusia 14 minggu

"Dua hari sebelum raya, Almy mula mengalami pendarahan pada rahim.

"Malam tu juga kami telefon doktor dan bertanya tentang pendarahan tersebut. Doktor kata kalau darah keluar lebih banyak, terus maklumkan padanya," ujarnya.

Menurut Fizz, selepas membuat pemeriksaan, terdapat darah beku pada rahim Almy yang kelihatan seperti ulser malah saiznya membesar sehingga satu sentimeter (cm) setiap hari.

"Keesokan harinya saya bawa Almy ke hospital dan buat pemeriksaan. Ada darah beku pada rahim Almy... seperti ulser.

Fizz dan Almy bersama tiga orang anak perempuan mereka.

"Hari pertama darah beku tu hanya berukuran 1cm, hari ketiga ia membesar kepada 3cm hingga 6cm semalam," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Tambahnya, Almy juga kelihatan terlalu lemah dan pucat kerana kehilangan terlalu banyak darah sebelum doktor membuat keputusan untuk melakukan pembedahan membuang darah beku dan mencuci rahim.

Pembedahan itu dijalankan pada Khamis kira-kira pukul 3.30 petang sehingga 5.45 petang di sebuah hospital swasta di Setapak, Kuala Lumpur.

"Semalam dia mengalami sakit yang teramat sangat sampai muka dia pucat. Almy pun langsung tak dapat tidur, sakit sangat macam orang nak beranak.

"Jadi doktor ambil keputusan untuk buat pembedahan dan keluarkan darah beku tersebut dan cuci rahim kerana darah sudah terlalu banyak keluar," ujar Fizz.

Ketika ditanya punca pendarahan tersebut, pelakon itu berkata kemungkinan isterinya hamil empat minggu.

Punca pendarahan itu kemungkinan daripada kantung bayi. Almy berkemungkinan hamil empat minggu.

DATUK FIZZ FAIRUZ

PELAKON

Namun, perkara itu belum dapat disahkan kerana pihak hospital masih melakukan pemeriksaan.

"Punca pendarahan itu kemungkinan daripada kantung bayi. Almy berkemungkinan hamil empat minggu.

"Tapi, kami masih tak dapat pastikan punca sebenarnya kerana kemungkinan darah beku itu terjadi akibat kehamilan atau ia hanya darah beku yang berada dalam kantung bayi," katanya.

Dalam pada itu Fizz berkata tiada apa yang diharapkannya melainkan agar Allah memberikan kesembukan kepada isterinya.

Gambar Almy bersama anak-anak pada sambutan hari raya ketiga Selasa lalu.

"Rezeki tu mana-mana pun ada. Kalau Allah nak bagi, cepat atau lambat kita tetap akan dapat tapi nyawa Allah bagi sekali saja jadi kami ambil keputusan untuk gugurkan sahaja kandungan itu dan selamatkan nyawa isteri saya.

"Sebelum rahim itu dicuci, staf perubatan cakap dalam kantung itu dah kosong, sebelum ni ada kelihatan ketulan seperti kandungan. Mungkin semalam bila dah sakit sangat, benda itu dah keluar jadi kemungkinan gugurlah kandungan itu," jelasnya.

Sebelum ini mStar ada melaporkan mengenai Almy yang mengalami keguguran pada usia kandungan 14 minggu pada Februari lalu.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Fizz Fairuz, Almy Nadia

Artikel Lain