PERBADANAN Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) menganjurkan beberapa aktiviti secara maya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu. Antara aktiviti yang diperkenalkan menerusi program Malaysia Virtual Experience (MyVXP) yang bersesuaian dengan situasi kebiasaan baharu atau the new normal, susulan penularan wabak Covid-19. Program tersebut memperkenalkan pakej pengalaman dalam talian yang menampilkan tarikan, destinasi, dan pelancongan di Malaysia. Menurut Champion Nexus Produktiviti Pelancongan iaitu Uzaidi Udanis, MyVXP merupakan platfrom baharu untuk produk pelancongan, segmentasi pasaran dan strategi pemasaran yang bersesuai dengan keadaan semasa. Fredo bersama para media dan pihak MPC serta TPN dalam sesi memperkenalkan program terbaharu secara maya. Malah, buat pertama kali sesi perkongsian bersama penyanyi terkenal Fredo Flybaits dilakukan secara maya bersama para media pada pagi, Jumaat. "Kami telah memulakan program tersebut dengan perkongsian suasana di Santika Hulu Langat yang terkenal dengan permainan angklung pada 25 Mei lalu dan penonton dapat merasai pengalaman menyanyi dengan alat muzik angklung secara maya. "Buat pertama kali, kami mempromosikan pengalaman secara maya dengan Fredo Flybaits dan seterusnya selepas ini pengalaman maya di Semporna, Negeri Sembilan serta pameran lukisan," katanya kepada mStar. Sesi perkongsian dan memperkenalkan program MyVXP itu bersama media tempatan, wakil MPC, TPN dan artis jemputan iaitu Fredo Flybaits itu telah diadakan secara maya pada pagi, Jumaat. Perkongsian secara maya ini merupakan sesuatu yang baru untuk saya yang sudah berusia. FREDO FLYBAITS PENYANYI Dalam sesi tersebut, penyanyi yang berasal dari Singapura itu turut menyampaikan single popularnya yang berjudul Mengapa Perpisahan Yang Kau pinta. Dalam pada itu, Fredo mengucapkan terima kasih kepada pihak MPC dan TPN yang sudi menjemputnya sebagai artis undangan untuk sesi tersebut biarpun masih belum menyesuaikan diri dengan teknologi itu. "Sebenarnya malam sebelum sesi perkongsian ini, saya tak boleh nak tidur sangat sebab memikirkan macam mana nak berikan yang terbaik. "Perkongsian secara maya ini merupakan sesuatu yang baru untuk saya yang sudah berusia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MPC dan TPN kerana sudi beri peluang kepada saya. "Program sebegini perlukan sokongan dan harapan saya agar semua orang boleh turut membantu dan menyertai program ini dengan membayar harga berpatutan," ujarnya. Untuk melihat lebih lanjut mengenai pakej dibawah program Malaysia Virtual Experience (MyVXp) boleh melayari https://www.mymalaysiachoice.com/.