suria

Fazura, Fasha Sandha dan Bella Astillah antara 12 selebriti bakal timang cahaya mata tahun ini!

Tiga selebriti terkenal, Fasha, Bella dan Fazura bakal melahirkan cahaya mata dalam masa terdekat.

SAMAADA anak pertama atau kedua dan seterusnya, sudah pasti menantikan kelahiran cahaya mata akan membuatkan pasangan suami isteri berasa teruja.

Tahun 2020 memperlihatkan ramai artis terkenal bakal menimang cahaya mata dalam beberapa bulan lagi dan ada juga segelintir mereka hanya menunggu waktu sahaja.

Kali ini, mStar senaraikan pasangan selebriti terkenal yang bakal menimang cahaya mata 2020.

1. Nur Fazura



Fazura dan Fattah.

Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti terkenal iaitu Nur Fazura dan Fattah Amin mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata pertama.

Menerusi laporan mStar pada 17 April lalu, Fattah berkongsi berita gembira mengenai isterinya yang juga aktres Nur Fazura ketika itu sedang hamil empat bulan.

"InsyaAllah dengan izin Allah SWT kami bakal menimang cahaya mata kami yang pertama. Kandungan Fazura kini dalam bulan keempat," tulis Fattah di Instagram.

Fattah dan Fazura melansungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel pada 27 November 2017.

2. Bella Astillah



Bella bersama suami, Aliff Aziz dan anak mereka.

Dalam diam rupa-rupanya pelakon Bella Astillah sudah kembali rujuk dengan suaminya yang juga penyanyi Aliff Aziz ketika dalam edah dan mengejutkan dia juga mengakui dirinya sedang berbadan dua.

Penyanyi lagu Tenang itu dan suaminya turut berkongsi berita gembira bahawa mereka bakal menimang cahaya mata perempuan pada Julai depan.

Bella dan Aliff bercerai pada 16 Mei tahun lalu selepas penyanyi kelahiran SIngapura itu beberapa kali kantoi curang dengan selebriti wanita.

Pasangan itu berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhamad Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.

3. Fasha Sandha



Fasha dan Aidil Aziz.

Pernah keguguran pada Aidilfitri tahun lalu, pelakon Fasha Sandha bersyukur dapat menyambut syawal tahun ini dalam keadaan dirinya sedang hamil anak pertama bersama pelakon Aidil Aziz.

"Perasaan nak sambut Hari Raya Aidilfitri kali ini memang berbeza tapi lebih kepada gembira dan bersyukur. Syawal tahun lalu kami sekeluarga berduka disebabkan saya alami keguguran," katanya kepada mStar.

Kandungan Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan kini sudah mencecah tujuh bulan dan bakal timang anak perempuan..

Pada 10 Jun tahun lalu, Fasha mendedahkan dia mengalami keguguran pada usia kandungannya hampir enam minggu dan berharap semua peminat mendoakan agar dia kuat melalui dugaan tersebut.

Fasha dan pelakon Aidil Aziz mendirikan rumah tangga pada 30 Mac lalu.

Fasha mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 7 dan Putri Raysha Jemyma yang berusia enam tahun hasil daripada perkahwinan terdahulunya dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli.

4. Ardell Aryana



Ardell dan Nadzmi menantikan kelahiran anak mereka bila-bila masa.

Kalau nak diikutkan kiraan, pelakon Ardell Aryana bakal melahirkan cahaya mata pertamanya dalam masa terdekat.

Menerusi Instagram suaminya yang juga pelakon Nadzmi Adwa pada 1 syawal lalu, dia menganggap sambutan Hari Raya Aidilfitri cukup istimewa kerana menantikan kehadiran anak sulung mereka.

"Tahun pertama beraya hanya berdua. Walaupun sedih rindukan keluarga tapi ia sangat istimewa. Daripada kami berdua serta baby dalam perut yang bila-bila saja nak keluar ni," tulisnya.

Biarpun kandungan telah memasuki usia lapan bulan, Ardell masih aktif menyertai suami melakukan misi bantuan untuk mangsa yang terjejas akibat Covid-19.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 September tahun lalu di kediaman keluarga belah perempuan di Seri Kembangan, Selangor.

5. Eyra Hazali



Eyra dan suami, Haziq.

Pelakon Eyra Hazali juga antara selebriti yang bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Kandungan Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 21, kini sudah hampir memasuki tujuh bulan.

Biarpun dalam keadaan berbadan dua, Eyra sanggup gagahkan diri berpuasa pada bulan Ramadan lalu namun dilakukan mengikut kemampuannya.

Pada 16 Februari lalu, Eyra mengumumkan dirinya sedang hamil selepas hampir empat bulan berkahwin dengan pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Haziq Nadzli.

6. Mia Ahmad



Mia dan suami bakal timang cahaya mata kedua.

Pada Januari lalu, pelakon Mia Ahmad berkongsi khabar gembira bahawa dirinya sedang hamil cahaya mata kedua.

Difahamkan kandungan Mia kini sudah mencecah lapan bulan dan bakal melahirkan anaknya dalam masa terdekat.

Menerusi sebuah laporan portal hiburan, Mia meluahkan rasa bersyukur kehamilannya kali ini tidak mengalami sebarang alahan teruk.

Mia mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan pada 13 Januari 2017 di Taiping, Perak selepas setahun berkenalan.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Sayf Issa yang kini memasuki dua tahun.

7. Sari Yanti



Sari Yanti bersama keluarganya.

Selepas mengalami keguguran pada tahun lalu, pelakon Sari Yanti berkongsi berita gembira bahawa dirinya kini sedang berbadan dua.

Menerusi laporan mStar pada 25 Februari lalu, Sari bersyukur dapat menyambut ulang tahun perkahwinannya dengan pelawak Jep Sepahtu yang ke-3 sambil menantikan kehadiran anak kedua mereka.

"Alhamdulillah dalam perjalanan kami di usia perkahwinan yang ke-3 tahun ini kami sedang menunggu kehadiran ahli baru... InsyaAllah," katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Dariya Inara yang kini berusia satu tahun.

Sari, 36, mempunyai dua orang anak lelaki hasil daripada perkahwinan pertamanya.

8. Diana Rafar



Diana dan Zamarul bakal timang cahaya mata ketiga.

Sempena ulang tahun kelahiran Diana Rafar yang ke-38 pada 10 Mei lalu, pelakon Zamarul Hisham mengumumkan isterinya kini sedang hamil lima bulan.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Zamarul meluahkan rasa syukur dipertemukan jodoh dengan Diana yang menjadi pelengkap hidupnya.

Zamarul, 49, berkahwin dengan Diana Rafar pada tahun 2009 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Kashfi Haikal dan Kayla Reysha.

9. Isteri selebriti hamil



Isteri-isteri selebriti terkenal yang kini sedang hamil.

Empat selebriti lelaki iaitu Tomok, Fad Bocey, Shukri Yahaya dan Saharul Ridzwan turut berkongsi berita gembira mengenai isteri mereka kini sedang hamil.

Difahamkan Tomok, Shukri dan Saharul bakal menimang cahaya mata mereka dalam masa terdekat memandangkan usia kandungan isteri mereka lebih kurang sama iaitu kira-kira dalam lapan bulan.

Manakala pada Mac lalu, isteri kepada Fad Bocey iaitu Syaheera Rahman mendedahkan kandungannya ketika itu berusia tiga minggu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain