suria

Lepas meniaga kek, Mila Jirin jual durian pula untuk bayar gaji pekerja - “Apa nak dimalukan... ini semua rezeki!”

Mila jual durian bagi menampung kos operasi syarikat dan membayar gaji pekerja.

SELEPAS mengambil inisiatif menjual kek bagi memastikan pendapatan pekerja tidak terjejas kerana penularan wabak Covid-19, penyanyi Mila Jirin mengambil peluang menjual buah durian pula sebagai tambahan bagi punca pendapatan syarikatnya.

Menurut Mila, 33, dia menerokai bidang baharu itu kerana ingin menampung kos operasi dan memastikan pekerja terus mempunyai gaji meskipun syarikat miliknya terpaksa dihentikan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Ramai kawan tanya betul ke saya jual durian, ya memang betul buat pertama kalinya kami berniaga durian di Puchong, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sanggup buang pekerja, Mila Jirin cari inisiatif lain dengan jual kek - “Saya tak harap untung tapi nak pastikan pekerja dapat gaji”

"Kenapa saya jual durian tahun ni? Ini adalah kerana syarikat berasaskan perkahwinan kami iaitu Bizmilla tak dapat jalankan perniagaan berikutan Covid-19 dan PKP.

"Jadi, saya dan staf ambil inisiatif menerokai bisnes baharu sebagai penjual buah durian," katanya.

Mila tidak malu mengakui dirinya penjual buah durian.

Mila berkongsi mengenai perniagaan baharunya itu menerusi Instagram pada Selasa.

Pada Ramadan lalu, Mila turut mendedahkan dia menjual kek dan manisan bagi menampung kos pengurusan syarikat dan gaji pekerja hampir RM200,000 sebulan.

Sementara itu, penyanyi lagu Aku Lebih Tahu ini berkata dia tidak malu mengakui dirinya kini merupakan usahawan buah durian.



Mila berniaga kek Ramadan lalu bagi menambah pendapatan syarikat.

Malah, apa yang dilakukan itu bukan untuk mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya bertujuan untuk menambah pendapatan syarikat.

"Apa yang nak dimalukan, ya... memang betul saya jual durian! Sebenarnya ini inisiatif kami ambil untuk membantu syarikat jana pendapatan dan memastikan pekerja mendapat pendapatan bulanan yang sama.

"Saya selalu cakap dengan staf saya ini adalah rezeki kerana kita berniaga hari ini bukan untuk mengejar keuntungan syarikat tapi untuk menampung kos operasi.

"Terima kasih kepada anda yang terus sokong dan membantu kami... bukan hanya durian, kami di Bizmilla turut menjalankan beberapa perniagaan lain untuk tampung kos operasi syarikat," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Mirin Jirin

Artikel Lain