suria

Zalif Sidek diserang asma, minta doakan cepat dapat teman hidup - “Tiadalah sakit seorang diri di rumah”

Zalif Sidek berkata ini serangan asma paling teruk dialami tahun ini ketika berseorangan.

AKIBAT tidak menjaga pemakanan dengan betul, pelakon Zalif Sidek diserang asma yang agak teruk apabila dia mengalami sesak nafas sejak pagi Isnin.

Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu, 35, berkata, dia kemudian mengagahkan diri ke klinik bagi mendapatkan bantuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zalif Sidek Terkilan Adegan Dipotong Kerana Diserang Asma

"Pagi semalam sewaktu bangun tidur saya dah mula rasa lain macam. Saya dah mula sesak nafas dan selsema.

"Saya pun tak boleh bercakap langsung. Pada mulanya memang tak larat nak bangun, tapi saya kuatkan juga badan dan terus pergi ke klinik untuk dapatkan ubat.

Zalif diserang asma selepas terdedah dengan habuk dan tidak jaga makan.

"Ini asma yang paling teruk saya alami pada tahun ni," katanya kepada mStar.

Zalif berkata, tidak menjaga pemakanan dan kerap minum minuman berais membuatkan dia lebih mudah terkena penyakit itu.

Selain itu, pelakon filem Bini Biniku Gangster ini juga tidak menolak faktor terdedah dengan habuk berikutan baru berpindah rumah menjadi punca dia diserang asma.

"Ceritanya, Ahad lalu saya pindah rumah. Jadi saya memang sibuk berkemas dan memang terdedah dengan habuk yang banyak. Saya pula memang sensitif dengan habuk.

Satu saja saya minta, doakan saya dapat jodoh secepat mungkin.

ZALIF SIDEK

PELAKON

"Sebenarnya sejak raya pertama sampai sekarang saya memang tak jaga makan. Macam-macam saya makan. Saya pun asyik minum minuman berais saja," ujarnya.

Dalam pada itu, Zalif meminta orang ramai mendoakan supaya dia dapat bertemu jodoh secepat mungkin.

Katanya, sudah tiba masa untuk dia mendirikan rumah tangga supaya ada teman hidup yang boleh membantu menjaga dirinya terutama ketika sakit.

"Satu saja saya minta, doakan saya dapat jodoh secepat mungkin. Bila berseorangan ni semua benda kena buat seorang diri.

"Dah masanya untuk ada orang temankan saya. Tiadalah nanti saya sakit seorang diri di rumah, pergi klinik pun seorang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Zalif Sidek

Artikel Lain