suria

Jalani penggambaran di rumah masing-masing, telefilem '6 Hari' permulaan norma baharu dunia seni - “Mencabar tetapi puas hati!”

Yusry akui sangat mencabar menjalani penggambaran di lokasi yang berbeza.

MESKIPUN bukan mudah untuk menjalani penggambaran di lokasi yang berbeza, namun pengarah Yusry Abdul Halim berpuas hati dengan hasil karyannya menerusi telefilem berjudul 6 Hari.

Menurut Yusry, jalan cerita telefilem tersebut tidak seperti perancangan awal dan penonton akan menyedari setiap watak semakin berkembang seiring dengan peredaran masa.

"Proses pembikinan telefilem ini amat mencabar tetapi saya amat berpuas hati dengan produk akhir karya ini. Secara dasar, telefilem ini mengisahkan tentang dua individu yang terperangkap dalam konflik berkaitan dengan ‘sebutir berlian’.

"Tetapi secara tersiratnya, ia tentang pencarian diri, dan bagaimana watak-watak tersebut matang seiring dengan peredaran masa. Penceritaan ini terbentuk bukanlah seperti yang saya rancang dari awal.



Yusry dan isterinya, Lisa Surihani turut membintangi telefilem 6 Hari.

"Saya temui makna tersiratnya pada hari ketiga penggambaran. Semakin saya tulis, semakin lapisan tersirat cerita ini keluar sedikit demi sedikit," kata Yusry.

Sebagai pembuka tirai permulaan positif susulan perlaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu, Astro membawakan tayangan telefilem istimewa berjudul 6 Hari.

Telefilem terbitan produksi Yureka Films dengan kerjasama Global Station Sdn Bhd yang diarahkan oleh Yusry itu bakal menemui para penonton pada 9 malam, Sabtu secara eksklusif di Astro Ria (104), Astro Ria HD (124), Astro Citra (108) dan Astro Citra HD (128).

Selain Yusry, telefilem tersebut turut dibintangi oleh tiga selebriti popular tanah air iaitu Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Suzi, Datuk Aaron Aziz sebagai Ismal dan Neelofa sebagai Linda.

Penceritaan ini terbentuk bukanlah seperti yang saya rancang dari awal.

YUSRY ABDUL HALIM

PELAKON DAN PENGARAH

Untuk makluman, keseluruhan penggambaran telefilem 6 Hari berjaya diselesaikan dalam masa enam hari meskipun terikat dengan kekangan terutamanya daripada segi teknikal, bekalan peralatan dan tenaga produksi sewaktu penguatkuasaan tempoh PKP.

Uniknya, kesemua teraju utama yang menjayakan telefilem ini juga harus menjalani keseluruhan penggambaran secara sendiri dari kediaman masing-masing berdasarkan garis panduan yang diberikan.

Dalam pada itu, Emarina Kamal selaku Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Citra berkata, pihak mereka sangat gembira dengan penerbitan telefilem tersebut yang dianggap permulaan norma baharu dalam bidang hiburan.



Aaron turut terlibat menjalani penggambaran di kediamannya.

"Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro selaku pelopor industri kandungan utama di negara ini, kami amat gembira dengan penerbitan buah tangan terbaharu berikutan karya ini bakal melakar sejarah dan meletakkan tanda aras tersendiri sebagai permulaan resam baharu dalam bidang hiburan.

"Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menangani pandemik Covid-19, karya ini berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat.

"Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Yusry yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain