suria

Selepas masalah jantung, pengarah drama Nurhalim Ismail disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat - “Kini semua bergantung keadaan tubuhnya”

nurhalim ismail (pakai topi duduk) bersama pelakon Zamarul Hisham.

PENGARAH drama, Nurhalim Ismail selamat menjalani pembedahan berkaitan jantung di Hospital Serdang, Selangor pada pagi Selasa.

Selain itu Biro Kebajikan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Hashim memaklumkan Nurhalim turut disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

"Saya sempat bertanya perkembangan dengan salah seorang anaknya... dimaklumkan pembedahan berkaitan komplikasi pada jantung sudah dilakukan. Selepas ini Nurhalim akan dipindahkan semula ke Institut Kanser Negara, Putrajaya untuk lanjutan pemantauan kanser.

"Sebenarnya, baru dua hari lepas doktor sahkan dia ada kanser paru-paru tahap empat. Berita yang sangat mengejutkan bagi kami semua.

"Sekarang ini semuanya bergantung keadaan tubuh Nurhalim, jika sudah stabil barulah dia akan menerima rawatan untuk kanser dan sebagainya. Memandangkan pelawat tidak dibenarkan, jadi kita pun masih belum tahu keadaan sepenuhnya," katanya kepada mStar.



Biro kebajikan FDAM, Ahmad Hashim.

Sebelum itu, menerusi akaun Facebook Nurhalim Ismail, anaknya dikenali Lia Juliana memuat naik status memohon orang ramai mendoakan kesihatan pengarah drama Di Halaman Rindu itu.

"Ayah kini sedang bertarung menghidap kanser paru-paru tahap empat. Kami sekeluarga ingin memohon semua pihak mendoakan dan membuat solat hajat agar urusan pembedahan jantung selamat dan dipermudahkan.

"Mohon ampun maaf, dan halalkan makan minum ayah sepanjang dia hidup dan terima kasih pada mereka yang pernah membantu, pernah berjuang bersama-sama dengan beliau. Terima kasih semua," tulisnya pada Isnin lalu.

Nurhalim, 63, merupakan antara orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama Dr Mahadi J Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Kamal Ishak, Othman Zainuddin dan M Yusof Mohamad.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Nurhalim Ismail,

Artikel Lain