PERKONGSIAN video memperlihatkan penyanyi Atilia Haron melakukan senaman yoga dengan tidak memakai kasut dan memegang makanan di sebuah pasar raya mengundang pelbagai reaksi netizen di Instagram. Tindakan yang dianggap tidak mementingkan kebersihan itu telah mengundang kebimbangan netizen memandangkan negara masih belum bebas dari wabak Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya masih relevan dan orang masih nak tengok” - Atilia sertai pertandingan selepas 30 tahun jadi artis Bagaimanapun, Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 46, menjelaskan dia membuka topeng muka buat sementara untuk melakukan senaman tersebut dan turut membeli barang yang dipegangnya. Atilia muat naik video dia melakukan senaman yoga di pasar raya tanpa memakai kasut. "Saya ada mask. Saya buka sekejap dan letakkan ia di leher. Ya... tiada kasut sebab saya miskin. Pegang barang sebab saya suka coklat itu dan saya beli. "Saya rasa ia pegang dan beli. Is that okay? Hanya orang yang lakukan yoga akan faham," kata Atilia membalas salah satu komen netizen. Video yang dikongsikan Atilia di laman Instagram miliknya itu kini mendapat lebih 11,000 tontonan dan 70 komen pengikutnya. Dalam pada itu, anak kepada penyanyi legenda Salamiah Hassan itu turut memberitahu dia memahami keadaan pandemik telah menyebabkan segelintir masyarakat terpaksa hidup dalam kesusahan. Antara komen netizen yang kurang senang dengan tindakan Atilia. Bagaimanapun, penyanyi lagu Bahagiaku itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan memuat naik video tersebut. "Pandemik telah menyebabkan kesusahan dalam kehidupan segelintir masyakat. Apa yang saya lakukan untuk meringankan suasana. Jika perkara ini menyinggung perasaan awak, saya tiada niat untuk berbuat demikian. "Terima kasih kerana memahami dan have a good day," ujarnya. Atilia juga menegaskan dia sudah mendapat kebenaran daripada pengawal keselamatan yang menjaga pasar raya itu untuk membuat rakaman. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!