suria

Isu rogol kerana 'filter', Wardina minta Fynn Jamal mohon maaf - “Tak ada salahnya kalau nak upload gambar sendiri”

Wardina tidak bersetuju dengan kenyataan Fynn berkenaan isu jenayah rogol.

JIKA sebelum ini penyanyi rap Caprice berdebat dengan kenyataan Fynn Jamal yang mengaitkan filter di laman sosial dengan jenayah rogol, kini tiba pula giliran pelakon Wardina Safiyyah.

Menerusi siaran langsung di Instagram (IG Live) bersama Fynn, Wardina berkata kenyataan Fynn tersebut kurang tepat memandangkan jenayah rogol sudah berleluasa sebelum adanya media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa kaitan guna 'filter' di laman sosial boleh kena rogol? Caprice keliru sehingga berdebat dengan Fynn Jamal

Menurut Wardina, biarpun apa yang dikatakan Fynn itu dengan niat memberi kesedaran kepada orang ramai namun penyanyi itu tidak sepatutnya menyalahkan wanita semata-mata.



Netizen berkongsi semula video IG Live Wardina dan Fynn.

"Semua orang menutup aurat tapi hakikatnya rogol berlaku sejak sekian lama dan sukar dibendung. Walau niat Fynn untuk menyedarkan orang ramai tapi cara awak seperti menyalahkan wanita semata-mata.

"Tutup salah, tak tutup salah. Hakikatnya dalam dunia ini tak semua wanita menutup aurat misalnya wanita bukan Islam.

"Jadi, isu ini kompleks dan ada banyak lapisan. Ia tidak boleh dibincangkan dengan cara sebegini," katanya ketika sesi IG Live bersama Fynn pada pagi Isnin.

Nama Wardina menjadi trending di Twitter disebabkan sesi IG Live tersebut dan rata-rata netizen di laman sosial bersetuju dengan pendapat pelakon tersebut.

Bila awak cakap selfie, akan ada banyak cara untuk orang menyalahtafsirkannya.

WARDINA

PELAKON

Sebelum ini, penyanyi rap Caprice juga keliru dengan kenyataan Fynn yang mengatakan punca rogol berlaku disebabkan wanita menggunakan 'filter' di laman sosial secara berlebihan.

Dalam pada itu, Wardina turut menasihati Fynn agar memohon maaf atas kekeliruan yang menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

"Nasihat saya... minta maaf dan akui bahawa isu ini kompleks. Katakan bahawa awak bersimpati atas mangsa rogol.

"Lelaki patut dipersalahkan, tapi ada banyak faktor yang mendorong lelaki melakukan jenayah itu antaranya faktor psikologikal.



IG Live Caprice dan Fynn turut mendapat perhatian netizen.

"Bukan tugas kita untuk menjaga iman lelaki, mereka perlu jaga iman mereka sendiri andai diletakkan perempuan bogel hadapan mereka sekali pun," ujarnya.

Sementara itu, Wardina menegaskan pendapatnya bahawa tiada salah untuk seseorang memuat naik foto sendiri di laman sosial.

"Bila awak cakap selfie, akan ada banyak cara untuk orang menyalahtafsirkannya. Jadi jangan cakap. Tak ada salahnya kalau nak upload gambar sendiri.

"Wanita bukan satu fitnah tapi seluruh dunia ini fitnah. Tapi kita perlu hidup dalam masyarakat yang mana wanita pun boleh keluar rumah dan pergi belajar," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Wardina, Fynn Jamal, Caprice,

Artikel Lain