PENERBIT terkenal Datuk A. Aida meluahkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah berhubung kes pelakon Mas Khan mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wallet mata wang kripto miliknya pada Rabu. A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 50, berharap isu tersebut menjadi pengajaran kepada semua khususnya Mas Khan bahawa setiap pesalah akan menerima hukuman setimpal. ARTIKEL BERKAITAN: Mas Khan didenda RM17,000 mengaku salah curi wallet mata wang kripto A. Aida Bagaimapun, A. Aida memberitahu dia tidak menyimpan dendam terhadap Mas Khan yang dianggap seperti adiknya dan berharap pelakon filem Abang Long Padil 2 itu bertaubat kerana masih mempunyai masa depan yang cerah. A. Aida sudah menganggap Mas Khan seperti adiknya sendiri. “Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah dan berterima kasih kepada PDRM kerana berjaya menyelesaikan kes ini. Saya juga berharap ia menjadi pengajaran kepada semua bahawa negara kita mempunyai undang-undang. “Sesiapa sahaja yang berbuat perkara menyalahi undang-undang negara pasti akan menerima hukuman, cepat ataupun lambat. Saya harap juga ia menjadi pengajaran kepada Mas Khan yang sebelum ini saya pernah anggap sebagai adik sendiri. “Sebagai orang Islam, saya tidak sesekali berdendam tetapi dalam masa yang sama berharap dia insaf kerana dia masih muda dan punya masa depan yang panjang, ” kata A. Aida menerusi kenyataan rasmi kepada media pada Rabu. Menerusi laporan Bernama, Mas Khan bakal berdepan hukuman penjara 26 bulan jika gagal membayar denda RM17,000 selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik A. Aida. InsyaAllah, tidak ada masalah untuk saya mengambil dia bekerja di bawah produksi A. Aida Production selepas ini. A. AIDA PENERBIT Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mas Khan, 26, atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan semasa sebutan kali ketiga kes tersebut. Mas Khan juga didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan atas pertuduhan pertama manakala untuk kesalahan kedua dia perlu membayar denda RM10,000 atau penjara 14 bulan. Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik A. Aida, 50, tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur, pada 5 pagi 7 Mac tahun lalu. Dalam pada itu, A. Aida berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengambil semula Mas Khan berlakon di bawah produksinya selepas ini. A. Aida akan teruskan saman sivil terhadap Mas Khan. Selain itu, A. Aida tetap akan meneruskan saman sivil terhadap Mas Khan atas nasihat peguamnya untuk menuntut keseluruhan jumlah yang telah dicuri dan ganti rugi teladan faedah serta kos tindakan di mahkamah. “InsyaAllah, tidak ada masalah untuk saya mengambil dia bekerja di bawah produksi A. Aida Production selepas ini. Dalam masa yang sama, atas nasihat peguam, saya akan teruskan dengan saman sivil terhadap dia selepas ini. “Ia akan dibuat melalui peguam iaitu Zulkifli Yong Azmi & Co untuk menuntut keseluruhan jumlah yang dicuri dan juga ganti rugi teladan faedah serta kos tindakan di mahkamah, ” ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!