suria

Anggaran pendapatan YouTube lebih RM29,000 sebulan, ramai peminat Indonesia, ini 10 fakta tentang Alyssa Dezek!

Alyssa Dezek merupakan seorang pelakon dan penyanyi cilik yang memulakan karier seawal usia tujuh tahun.

NAMA pelakon dan penyanyi cilik Alyssa Dezek menjadi sebutan ramai apabila dia mendedahkan berjaya membeli kereta Toyota Vellfire walaupun baru berusia 12 tahun.

Menurut ibunya, Suzanne Sahri, Alyssa membeli kereta berjenama Toyota Vellfire itu di atas kehendaknya sendiri bagi memudahkan untuk dia bergerak bagi urusan penggambaran.

Namun, masih ramai tidak mengetahui latar belakang dan perjalanan kerjaya Alyssa dalam industri hiburan.

ARTIKEL BERKAITAN: Beli Vellfire pada usia 12 tahun, ibu Alyssa Dezek dituduh tak pandai urus duit anak - “Mungkin mereka tak tahu siapa ayah dia”

Jom kita semak fakta mengenai pelakon dan penyanyi cilik Alyssa Dezek!

1. Alyssa atau nama sebenarnya Aryanna Alyssa Dezek mencuri tumpuan netizen baru-baru ini selepas membeli sebuah kereta mewah, Toyota Vellfire, yang bernilai kira-kira RM250,000 dengan wang yang diperoleh dari video-video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya.

2. Si cilik ini lahir pada 21 April 2008 merupakan anak sulung daripada dua beradik. Dia mempunyai seorang adik lelaki bernama Aaron Dezek.



Alyssa bersama ibu bapa dan adik lelakinya.

3. Alyssa mula dikenali selepas videonya menyanyikan lagu Kun Anta sambil bermain ukulele tular di YouTube. Penyanyi asal lagu tersebut iaitu Humood Alkhudher turut menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Alyssa apabila berkunjung ke Malaysia.

4. Selepas tular dengan video nyanyian Kun Anta, Alyssa menyertai program terbitan Astro iaitu Ceria All Star pada usia tujuh tahun. Astro sekali lagi memanggil Alyssa untuk menyertai program Ceria Mega Star.

5. Sejak bertanding dalam Ceria All Star, pelakon cilik ini mula menerima tawaran berlakon beberapa drama seperti Kasut Bola Pink, Patahnya Sebelah Sayap dan Anak-Anak Ibu.



Alyssa memulakan karier YouTube pada tahun 2013 seawal usia lima tahun.

6. Karier YouTube Alyssa bermula pada tahun 2013 apabila dia menjadi popular dengan lagu-lagu saduran sejak berumur lima tahun.

Pendapatan Alyssa diperoleh bukan sahaja daripada penggambaran, malah daripada saluran YouTube yang mempunyai lebih dari tiga juta langganan yang menjadikannya selebriti Malaysia paling ramai pelanggan.

Video-video yang dimuat naik pelakon cilik itu juga mencecah 300 juta tontonan.

Laman web penjejakan Social Blade menganggarkan bahawa pendapatan Alyssa bernilai antara US$7,000 (RM29,942) sehingga US$100,000 (RM42,750) sebulan dari YouTube.

Bagaimanapun, laman web tersebut menjelaskan bahawa angka itu hanyalah anggaran umum dan kiraannya tidak semestinya tepat.



Alyssa bukan sahaja menyanyi dan bermain alat muzik, malah turut berlakon dan berkecimpung dalam iklan komersial.

7. Selain aktif menyanyi di YouTube, Alyssa turut melancarkan beberapa single dan muncul dalam beberapa iklan komersial.

8. Single terbaharu Alyssa yang bertajuk Lagu Untuk Kamu memperoleh 63 juta tontonan di YouTube dengan 910,000 tanda suka sekaligus direkodkan sebagai video dengan likes paling banyak di YouTube Malaysia.

Lagu ini dicipta oleh komposer Indonesia iaitu Posan Tobing.



Salah sebuah single Alyssa yang bertajuk Lagu Untuk Kamu dicipta oleh komposer Indonesia, Posan Tobing.

9. Seawal usia empat tahun, Alyssa mula belajar sendiri cara bermain ukulele melalui YouTube sebelum menyertai kelas muzik.

Pada awalnya, Alyssa tidak dibenarkan menyertai kelas muzik kerana faktor umurnya, namun selepas melihat kesungguhannya belajar bermain ukulele serta kepintarannya membaca nota muzik, dia akhirnya diterima menyertai kelas muzik.

Sejak itu, Alyssa bukan sahaja pandai bermain ukulele, malah bakatnya turut dikembangkan pada gitar dan biola.

10. Peminat Alyssa dari Indonesia bertambah selepas videonya menyanyikan lagu Merindukanmu nyanyian Dash Uciha menjadi hit.

Video ukulele terbaik Alyssa adalah ketika menyanyikan lagu Tak Tun Tuang yang mencatatkan 36 juta tontonan, selain lagu Despacito sebanyak 9.3 juta.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain