suria

Masuk campur urusan Nina Iskandar jaga anak... pakar nutrisi beri penjelasan - “Bukan tegur, cuma bagi info”

Pakar pemakanan Syaza menulis komen teguran terhadap Nina Iskandar.

PAKAR pemakanan dikenali sebagai Syaza tampil membuat penjelasan mengenai komen yang ditulis di salah satu posting di akaun Instagram milik pelakon Nina Iskandar, baru-baru ini.

Menurut Syaza, tindakannya meninggalkan komen tersebut bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai mengenai pemakanan terbaik untuk bayi.

Tegasnya, pandangan yang ditulis olehnya itu bukan bermaksud ingin mencampuri urusan aktres tersebut dalam menguruskan anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Bagi makan pun kena tegur... Nina Iskandar rimas netizen masuk campur cara besarkan Rizqin - “Dia anak saya, awak jaga awak punya okay”

"Sebenarnya sayalah yang tegur itu, bukan tegur cuma bagi info... sebagai artis atau orang berpengaruh, saya rasa setiap posting beliau akan mempengaruhi pengikut.

"Langsung tak ada niat nak kecam atau menyibuk hal hidup orang lain. Niat saya cuma nak bagi info supaya ibu-ibu lain juga tahu dan seterusnya tak menghadapi masalah anak memilih makan (picky eater).



Syaza jelaskan maksud komen yang ditulis di Instagram Nina Iskandar.

"Ayat saya pun bukanlah ayat kecaman atau cacian atau teguran, tapi hanyalah kata-kata penuh lemah lembut lagi berinformatif, siap (emoji) smiley lagi... tapi tak boleh nak tunjuk screenshoot komen sebab beliau dah hide," katanya.

Syaza berkata demikian menerusi laman Facebook miliknya, Syaza Nutritionist.

Pada Selasa lalu, pelakon drama Setelah Cinta Itu Pergi ini meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan segelintir netizen memberikan cadangan dan teguran mengenai penjagaan anaknya.

Apa-apa pun saya puji dia (Nina) kerana memperkenalkan natural food dahulu sebelum makanan segera bayi yang lain

SYAZA

PAKAR PEMAKANAN

Dalam hal ini, Nina berkata dia dan suami mempunyai cara tersendiri membesarkan bayi mereka iaitu Muhammad Aaryan ar-Rizqin yang kini berusia tujuh bulan.

Sementara itu, Syaza berkata dia terpanggil untuk memberikan teguran dan nasihat kerana mahu menyedarkan orang ramai mengenai pemakanan terbaik untuk kanak-kanak.

"Memperkenalkan makanan yang ada rasa terutamanya manis seperti puree buah akan menyebabkan anak lebih cenderung untuk menolak makanan yang rasa tawar dan pahit seperti sayur-sayuran.



Nina ada cara tersendiri membesarkan anak.

"Tahu tak deria rasa kanak-kanak lagi tajam dari dewasa? Rasa manis buah pun akan meninggalkan rasa manis yang teramat buat bayi... bukan tak boleh bagi, boleh! Tapi bukan sebagai makanan pertama, bubur kosong adalah makanan pertama terbaik, boleh rujuk Group Happy Baby Foods Malaysia untuk tahu lebih lanjut.

"Kanak-kanak Malaysia sedang mengalami masalah bantut? Kajian menunjukkan terdapat kekurangan dalam status nutrisi kanak-kanak di Malaysia iaitu bantut, kurang atau lebih berat badan antara punca masalah ini adalah kerana memilih makanan.

Dalam pada itu, Syaza memohon maaf jika tegurannya itu menggores hati mana-mana pihak termasuklah pelakon berkenaan.

"Mohon maaf kalau melukakan hati mana-mana pihak tetapi sebagai nutritionist, inilah peranan saya dalam masyarakat.

"Apa-apa pun saya puji dia (Nina) kerana memperkenalkan natural food dahulu sebelum makanan segera bayi yang lain," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain