suria

Kek Ruhainies berwajah pondan gara-gara ‘baker’ inginkan kelainan tapi tak cukup masa - “Saya hanya tidur satu jam nak siapkan”

Syauki Khozaid perjelas isu rekaan kek hari jadi Ruhainies.

SUSULAN kek hari jadi pelakon Ruhainies yang tular berikutan rekaan berwajah pelik dan melucukan, pembuat kek, Syauki Khozaid tampil menjelaskan perkara sebenar.

Syauki berkata, dia kekurangan masa untuk menyiapkan kek berkenaan selepas pihak Ruhaines membuat tempahan dua hari sebelum majlis ulang tahun aktres tersebut.

Sedar dengan risiko yang bakal dihadapi, Syauki berkata, dia tetap mahu mencabar diri dalam memberikan kelainan pada rekaan kek istimewa itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nampak seram, muka macam pondan!” - Ruhainies terhibur baca komen, kek ulang tahun sepatutnya berwajah ‘Barbie’ tapi tak jadi

"Sebenarnya ia tempahan saat akhir. Hanya dua hari saja diperuntukkan untuk buat kek ni.



Syauki bersama Ruhainies dan kek hari jadi yang tular di media sosial.

"Mereka tak minta pun bentuk kek seperti itu. Mereka cuma beritahu tema iaitu putih dan merah jambu dan dekorasi semua serah pada saya.

"Saya beritahu perancang majlis yang saya nak buat kek lain dari yang lain. Sebab saya nak cabar diri saya," katanya.

Dalam pada itu, Syauki mengakui sebagai pembuat kek yang beroperasi secara kecil-kecilan di rumah, dia tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada kek berkenaan berikutan terpaksa menyiapkan tempahan lain.

Tambahnya lagi, dia hanya tidur satu jam sahaja semata-mata untuk menyiapkan kek tersebut.

Saya homebaker, semua benda buat seorang diri.

SYAUKI KHOZAID

PEMBUAT KEK

"Saya ni homebaker, semua benda saya buat seorang diri. Masa yang saya ada itu memang sangat padat.

"Dalam masa sama saya juga ada tempahan yang lain. Saya hanya tidur satu jam saja semata-mata nak siapkan kek itu," ujarnya.

Sementara itu, Syauki turut menjelaskan dia menerima tempahan tersebut berikutan peluang seperti ini hanya datang sekali.

Katanya, secara tidak langsung dia dapat belajar dari kesilapan sambil menggunakan sepenuhnya kemahiran sedia ada.

Ulang tahun kelahiran Ruhainies jatuh pada Isnin namun majlis sambutan diadakan beberapa hari awal.

"Ada orang komen kenapa saya masih ambil tempahan itu walaupun saya tahu saya ada tempahan lain dan tak mampu nak buat.

"Saya rasa peluang hanya datang sekali, jadi saya gunakan peluang ni dan gunakan semua kemahiran yang saya ada untuk mencabar diri agar saya boleh belajar dari kesilapan.

"Kalau kita tak belajar dari kesilapan sampai bila kita nak tahu kemampuan diri kita. Sebab tu kita kena mencuba, kalau kita tak cuba kita tak tahu kesilapan apa yang kita buat," ujarnya.

Selain itu, Syauki berkata, dia tidak mengambil serius kecaman serta komen negatif netizen dan sentiasa berfikiran positif.

Majlis ulang tahun Ruhainies turut disambut teman rapat serta diiringi pengawal peribadi.

"Saya tak ambil hati pun sebab semua ada pendapat masing-masing. Saya dah mencabar diri saya dan dah buat yang terbaik.

"Kek itu pun sampai dengan jayanya, yang penting pelanggan happy. Ruhainies pun happy," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain