PENYANYI Soffwany Yusoff meluahkan rasa syukur apabila berjaya menjejakkan kaki ke pentas final program realiti Suara Viral yang bakal bersiaran di Astro Prima pada Rabu depan. Setelah hampir dua bulan bersaing merebut tempat di peringkat akhir, Soffwany mendedahkan minggu pertama mencabar mental dan fizikalnya kerana dia berdepan masalah kesihatan sehingga mengganggu persembahan. "Konsert pertama paling mencabar dan buatkan saya rasa down kerana diserang batuk-batuk sehingga hilang suara sampai nak bercakap pun tak boleh... mungkin sebab faktor cuaca dan kesibukan kerja tetapi saya gagahkan diri! ARTIKEL BERKAITAN: Polis viral Soffwany Yusoff, abang 'rider' antara 10 peserta yang bakal berentap di Suara Viral! "Semasa suku akhir, tugasan duet bersama penyanyi juga agak mencabar kerana saya perlu menyanyi bersama artis yang lebih berpengalaman dan lagu pula ditentukan oleh produksi. "Sejujurnya setiap minggu tugasan diberi bukan mudah dan beberapa kali nama berada di bottom three tetapi saya terus bertahan dan gagahkan diri sehinggalah berjaya ke final, Alhamdulillah!," katanya kepada mStar. Soffwany pernah mengalami demam dan hilang suara pada minggu pertama pertandingan. Pada malam separuh akhir yang bersiaran pada Rabu lalu, Soffwany atau nama sebenarnya Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31, menyanyikan dua buah lagu iaitu Goyang Bali serta Rela dan berada di kedudukan dua terendah berbanding peserta lain. Konsert minggu ini diadili oleh dua juri tetap iaitu Akim Ahmad dan Misha Omar serta juri jemputan, Datuk Awie. Selain Soffwany, empat lagi peserta yang bakal bersaing di pentas akhir ialah Boy, Ameem, Bella dan Farah. 13 tahun bekerja sebagai polis, semestinya dunia hiburan cukup berbeza buat saya tapi sekarang ini saya sudah semakin terbiasa! SOFFWANY PENYANYI Ditanya bagaimana dia berdepan segala tekanan dan cabaran sepanjang menyertai pertandingan berkenaan, Sofwany berkata dia menerima dorongan dan sokongan daripada tunangnya yang juga pelakon Raja Afiq. "Sejak awal saya melangkah kaki ke dunia hiburan, saya sentiasa berfikiran positif... kalau rasa down ketika malam persembahan, saya cuba atasi dengan cari orang sekeliling yang boleh membantu. "Alhamdulillah tunang saya banyak memberi dorongan dan sokongan sehingga saya berjaya ke peringkat final Suara Viral," ujarnya. Soffwany terima sokongan dan nasihat tunang yang juga pelakon Raja Afiq. Sementara itu, Soffwany yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata dia akan meneruskan kerjaya tetap sebagai anggota badan beruniform, namun akan cuba memenuhi undangan nyanyian mengikut kesesuaian waktu. "Sepanjang pertandingan ini saya ambil cuti tanpa gaji kerana mahu beri komitmen sepenuhnya dalam program ini... selepas tamat program ini saya akan teruskan nyanyian dan bekerja seperti biasa. "Memandangkan nyanyian memang minat saya dari kecil, jadi perasaan itu tidak mungkin hilang dan saya akan teruskan dengan minat ini. "13 tahun bergelar pegawai polis, semestinya dunia hiburan cukup berbeza buat saya tapi sekarang ini saya sudah semakin terbiasa!," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!