suria

Enam 'show', dua konsert Wings batal gara-gara Covid-19 - “Kena jadi kreatif untuk teruskan hidup”

Aktiviti seni Wings terpaksa dibatalkan dan ditunda disebabkan pandemik Covid-19.

VOKALIS kumpulan Wings iaitu Datuk Awie mengakui krisis pandemik wabak Covid-19 memberi kesan apabila semua aktiviti seni yang sudah dirancang terpaksa ditunda dan dibatalkan.

Bagaimanapun Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, berkata dia dan ahli kumpulannya pasrah serta reda dengan takdir dan perancangan Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas seminggu, Awie keluar hospital tanpa mengetahui penyakit dialaminya

Enggan hanya hidup dalam ketakutan kerana kehilangan punca rezeki, Awie menganggap waktu kesukaran ini memerlukan dia lebih berusaha dan melakukan sesuatu yang kreatif demi kesinambungan hidup.



Awie akui perlu lebih berusaha dan jadi kreatif untuk kesinambungan hidup.

"Sebenarnya sebelum berlaku Covid-19, kami ada lebih kurang lima atau enam show dan dua konsert besar di KL serta Phuket. Semua habis... tak jadi apa dah. Bila dah macam itu, kami terfikir apa yang berlaku dan terjadi selepas ini.

"Tapi Allah Maha Kaya kerana ini semua ketentuanNya dan kita kena reda serta pasrah dengan apa yang berlaku. Tapi dalam pada masa yang sama juga kita perlu usaha.

"Kena jadi kreatif untuk teruskan hidup. Tak ada show, memang susah.

Kita kena reda serta pasrah dengan apa yang berlaku dalam masa yang sama perlu usaha.

AWIE

VOKALIS KUMPULAN WINGS

Penyanyi rock itu ditemui ketika sidang media Konsert Wings Kita Merdeka 2020 di JM Bariani House, Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Buat julung kali, konsert tersebut akan diadakan dengan menggunakan teknologi Live Streaming dan peminat hanya perlu membayar RM35 untuk tonton secara langsung di kediaman atau lokasi masing-masing pada 29 Ogos depan.

Dalam pada itu, Awie memberitahu biarpun dia berasa teruja untuk konsert tersebut namun mengakui antara cabarannya terpaksa melakukan persembahan tanpa penonton.



Konsert Wings Kita Merdeka 2020 akan diadakan pada 29 Ogos depan.

"Antara cabaran untuk konsert ini bila nanti kami buat persembahan tanpa penonton di hadapan. Tak tahu macam mana sebab ini kali pertama kami buat konsert secara maya.

"Tapi kami sahut cabaran ini secara positif memandangkan keadaan sekarang tidak mengizinkan dan ini salah satu norma baharu serta sesuatu yang kreatif untuk industri muzik.

"Mungkin ada kelebihan konsert macam mana dari segi tiada gangguan bunyi atau gangguan lain-lain," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain