suria

Kemurungan disangka gimik, Haqiem Rusli belajar banyak perkara - “Saya dah maafkan semua yang hina saya ketika itu”

Haqiem menangis di sidang media kini kuat.

ARTIS dan kontroversi sememangnya tidak dapat lari daripada liputan media, penyanyi Haqiem Rusli antara nama yang pernah menjadi topik berita hangat di mStar apabila dihimpit isu kemurungan sekitar Jun 2018.

Mengimbau kenangan sempena ulang tahun ke-15 mStar, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 22, terpalit isu kemurungan selepas dia sendiri mendedahkan perkara itu di Twitter sehingga memberi bayangan seolah-olah mahu berhenti menyanyi.

Namun ada netizen yang menyifatkan isu kemurungan seperti yang didakwa penyanyi berkenaan hanya rekaan atau gimik untuk promosi lagu baharunya ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Derita kemurungan, Haqiem Rusli mahu bersara sebagai penyanyi

ARTIKEL BERKAITAN: “Selepas isu murung saya fikir karier saya sudah berakhir” - Haqiem Rusli kini lebih matang berdepan kontroversi

Tidak menyimpan sebarang perasaan marah atau dendam, Haqiem mengakui dia mengambil secara positif setiap laporan mStar berhubungan kontroversi itu.

Haqiem dikecam selepas membuat pengakuan alami kemurungan.

Tatkala mengingat kembali kejadian itu, penyanyi lagu Lembah Kesepian ini mengakui sedikit sebanyak terkesan dengan komen di Instagram dan Facebook mStar, namun kritikan yang diterima itu telah menjadikan dia lebih kuat untuk berdepan ujian dalam industri.

"Bagi saya setiap laporan mengenai saya hanya ke arah positif. Memang ada kebaikan dan nasihat dalam setiap artikel yang diterbitkan mStar.

"Apa yang saya ingat apabila sebut mStar tentulah tentang kes saya sebelum ini la. Tapi benda itu pun dah berlalu. Saya ada baca komen ketika itu dan akui memang agak terkesan.

"Tapi sekarang saya sudah tidak kisah dengan kritikan atau komen. Bagi saya, asalkan mereka tidak mengganggu keluarga dan rakan-rakan baik. Saya pun dah maafkan semua orang yang hina saya ketika itu," kata Haqiem.

Haqiem ditemui ketika majlis pelancaran kedai makan miliknya iaitu SanThai Village di Platinium Walk, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Banyak perkara yang berlaku dalam karier mengajar saya apa itu erti kematangan.

HAQIEM RUSLI

PENYANYI

Sekitar Jun 2018, Haqiem pernah mengejutkan peminatnya apabila memberi bayangan akan bersara daripada bidang muzik ketika kariernya berada di puncak kegemilangan disebabkan melalui banyak keperitan sepanjang bergelar penyanyi.

Ketika itu kata Haqiem masalah kemurungan yang dihadapinya berpunca daripada tekanan kerja, masalah tak boleh tidur dan berat badan tidak konsisten.

Pengakuan tersebut telah mengundang kecaman daripada selebriti dan netizen yang menganggap penyanyi lagu Tergantung Sepi itu sekadar melakukan gimik.

Bagaimanapun selepas menerima kecaman yang teruk, Haqiem akhirnya disahkan menghidap moderate depression oleh pakar psikiatri sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Ibu dan bapa Haqiem banyak memberi sokongan ketika dilanda kontroversi.

Dalam pada itu, Haqiem memberitahu pengalaman berhadapan dengan kontroversi itu banyak memberi pengajaran dan juga mengajarnya tentang erti kematangan.

"Banyak perkara yang berlaku dalam karier mengajar saya apa itu erti kematangan. Setiap hari saya sentiasa belajar benda baharu antaranya macam mana nak bercakap dengan orang.

"Sebelum ini saya memang tidak tahu apa-apa. Jadi pengalaman sepanjang kontroversi itu mematangkan saya. Dah tahu apa yang saya boleh dikongsi dan tidak di laman sosial.

"Bukan nak cakap saya matang, tapi saya sentiasa cuba memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik," ujarnya.

Haqiem kini memiliki perniagaan kedai makan di Setapak.

Berkongsi mengenai kedai makan miliknya, Haqiem mengakui perniagaan tersebut merupakan persediaan awal demi masa hadapannya memandangkan industri muzik dalam keadaan tidak stabil ekoran pandemik Covid-19.

"Perniagaan restoran SanThai Village ini merupakan idea saya dan pasukan saya termasuklah ahli keluarga. Memang saya dah rancang waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi baru sekarang beroperasi.

"Lagipun dah lama saya plan nak buka restoran macam ni, mana tahu nanti saya dah tiada rezeki dalam nyanyian, mungkin restoran ini boleh jadi back up.

"Bukanlah saya nak mendoakan yang tak baik untuk diri sendiri, cuma kita perlu ada perancangan masa depan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain