suria

“Garang hanya ketika bertugas di penjara, waktu lain dia kelakar” - Anak syukur dapat tunai impian terakhir Abu Bakar Juah

Zarith (kanan) bersama adik-adiknya, Safinas (tengah) dan Benjamin di hadapan pusara arwah bapa mereka.

ANAK kedua kepada pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Juah iaitu Zarith Abu Bakar meluahkan rasa syukur apabila impian arwah bapanya untuk berada di samping keluarga pada saat-saat akhir hidupnya tercapai.

Menurut Zarith, 37, biarpun tiada kata-kata atau ucapan terakhir daripada bapanya namun dia dan keluarganya reda dengan pemergian arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Abu Bakar Juah meninggal dunia selepas seminggu tenat akibat kanser hati

"Alhamdulillah mak, adik-beradik dan cucu dapat berkumpul di saat-saat akhir arwah kecuali suami saya yang tak dapat balik sini sebab bekerja di Kemboja.



Adik bongsu Zarith iaitu Benjamin (kiri) berhenti kerja untuk menjaga arwah bapa mereka.

"Semua adik-beradik arwah abah dan keluarga mentua dapat datang semalam (Sabtu).

"Arwah pergi secara tenang dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya. Kata-kata terakhir itu tak ada tapi untuk dia bersama dengan keluarga di saat akhir tercapai.

"Interaksi terakhir abah bersama dengan kami melalui genggaman dan juga dia ada mengalirkan air mata seakan tahu sesuatu bakal berlaku," kata Zarith kepada mStar.

Allahyarham Abu Bakar, 72, meninggal dunia di kediamannya di Alam Damai pada pukul 6.35 petang Sabtu, akibat kanser hati dan jenazahnya selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.50 pagi Ahad di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras.



Arwah Abu Bakar bersama isteri dan anak-anaknya.

Arwah mendirikan rumah tangga dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980.

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Danial Nor, 39, Zarith, Safinas dan Benjamin Nor, 28 serta seorang cucu lelaki.

Allahyarham Abu Bakar terkenal dengan watak antagonis dan antara filem lakonannya iaitu Senjakala, Rempit Sampai Ke Langit serta Dukun.

Abu Bakar merupakan pesara kerajaan dengan jawatan terakhirnya pada 2005 ialah Pengarah Kanan, Jabatan Penjara Malaysia, Taiping Perak.

Mak belum bersedia untuk ditemu bual begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain.

ZARITH

ANAK KEDUA ABU BAKAR

Dalam pada itu, Zarith memberitahu bapanya mempunyai karakter yang berbeza dengan setiap lakonannya dan mereka sekeluarga pasti akan merindui lawak jenaka arwah.

"Semua rakan arwah mengetahui dia kelakar. Walaupun arwah dikenali dengan watak antagonis tapi sebenarnya dia seorang yang kelakar.

"Apa yang kami akan rindu tentang arwah abah... kelakar dia la, suka berlawak. Untuk watak garang itu arwah hanya gunakan ketika bertugas di Jabatan Penjara Malaysia, ” ujarnya.



Isteri Abu Bakar, Rusidah masih bersedia dengan pemergian suami tercinta.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham iaitu Rusidah serta anak-anak yang lain terutama bongsu, Benjamin belum bersedia untuk berkongsi perasaan selepas kehilangan orang tersayang.

"Mak masih bersedih dan dia berada di rumah sahaja. Mak belum bersedia untuk ditemu bual begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain.

"Terutama adik bongsu kami yang berhenti kerja untuk menjaga abah. Dia banyak berkorban dan memang kami adik-beradik yang bergilir membantu mak untuk menjaga abah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain