suria

Keith Foo sahkan sudah bercerai Disember lalu - “Perkahwinan tidak boleh dipaksa”

Keith Foo umum sudah bercerai dengan model terkenal Kim Raymond.

PELAKON Keith Foo mengesahkan sudah bercerai secara rasmi dengan isterinya iaitu model terkenal Kim Raymond sejak Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Keith, 37, berkata, dia masih menjaga hubungan baik dengan bekas isterinya itu demi anak mereka, Skylar Raymond Foo yang kini berusia tiga tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak ambil serius gosip rumah tangga bermasalah, Keith Foo dan isteri sedang bahagia

"Kami berpisah sejak dua tahun lalu tetapi secara rasminya bercerai pada Disember tahun lepas.

"Walaupun sudah tidak lagi bersama, saya masih menjaga hubungan baik dengan bekas isteri demi anak, Skylar Raymond Foo," katanya kepada Harian Metro.



Keith bersama anak perempuannya, Skylar Raymond Foo.

Dalam pada itu, pelakon drama Ariana Rose ini berkata, dia menyerahkan hak jagaan anak mereka kepada bekas isterinya.

Tambahnya, dia sentiasa mencari masa dan ruang untuk bertemu Skylar terutamanya ketika tidak menjalani penggambaran.

"Kami sudah seperti rakan baik dan tiada masalah yang terjadi antara kami berdua biarpun tidak lagi bergelar suami isteri.

"Anak tinggal dengan bekas isteri, tapi setiap hari saya akan cuba mencari ruang untuk bersamanya (anak). Jika saya bercuti dan tiada penggambaran, anak akan tidur di rumah saya," ujarnya.



Hubungan Keith bersama bekas isterinya, Kim, masih baik walaupun sudah tidak bersama.

Dalam pada itu, Keith berkata dia dan Kim berpisah secara baik dan tidak mahu meneruskan perkahwinan dalam keadaan terpaksa.

Keith juga menyifatkan sesuatu ikatan perhubungan perlu dihentikan jika sudah tiada persefahaman bagi mengelakkan perkara buruk daripada berlaku.

"Kami berpisah secara baik. Perkahwinan tidak boleh dipaksa. Daripada kita paksa-paksa atau tangguh-tangguhkan, tak tahu apa akan jadi di masa akan datang.

"Jika dipaksa dan tiada persefahaman, takut perkara lebih buruk akan terjadi nanti. Sekarang, situasi yang kami hadapi jadi lebih baik," jelasnya.

Keith dan Kim berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Skylar Raymond Foo, 3.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Keith Foo, artis cerai

Artikel Lain