suria

Jodoh singkat! Ini 9 selebriti umum cerai sehingga Ogos 2020 termasuk Laudya Cynthia Bella, Sharnaaz Ahmad dan Sharifah Sakinah

Sharnaaz, Laudya Cynthia Bella dan Sharifah Sakinah antara selebriti yang umum perpisahan.

TIADA pasangan di dunia ini yang inginkan rumah tangga mereka berantakan dan berakhir dengan perpisahan.

Namun, jodoh dan perpisahan adalah kententuan Tuhan dan tiada siapa yang boleh melawan takdir itu.

Perkahwinan yang dilihat bahagia dan sempurna pada pandangan orang sekeliling kadangkala tersimpan 1001 rahsia.

Tahun 2020 bukan hanya membawa khabar gembira malah terselit kisah duka bagi beberapa pasangan selebriti.

Kali ini, mStar senaraikan 9 selebriti yang mengumumkan perpisahan sejak Januari lalu.

Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran berkahwin pada 8 September 2017.

1. Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran

Sejak Disember tahun lalu, spekulasi berkenaan masalah rumah tangga pelakon Laudya Cynthia Bella hangat diperkatakan peminat Malaysia dan Indonesia terutamanya apabila aktres itu memadam semua foto bersama suami di Instagram.

Namun Laudya akhirnya membuka mulut dan mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya iaitu ahli perniagaan Engku Emran pada Julai lalu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa kami berdua sudah sama-sama sepakat untuk berpisah secara baik.

"Sudah bermacam upaya kami lakukan dan ini adalah takdir Allah SWT, rumah tangga kami hanya sampai di sini dan sudah segala proses kami lalui, sekarang semuanya sudah selesai," ujarnya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 8 September 2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Laudya dan Engku Emran berkenalan selama lima bulan dan akhirnya membuat keputusan untuk bernikah.

Sharnaaz dan Noor Nabila bercerai secara hakam pada 9 Julai lalu.

2. Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila

Setelah sekian lama berdepan dengan kemelut rumah tangga, pelakon Sharnaaz Ahmad akhirnya bercerai secara hakam dengan isterinya yang juga ahli perniagaan Noor Nabila Mohd Noor pada 9 Julai lalu.

Sharnaaz atau nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 35, menjelaskan keputusan itu dibuat secara baik dan mereka sudah bermaafan serta tidak menyimpan sebarang dendam.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata dia akan menjadi seorang bapa yang baik untuk anak lelakinya iaitu Jebat Jayden.

Tambah Sharnaaz, dia tidak mahu anaknya merasa kehilangan kasih sayang seorang bapa.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Jebat Jayden yang berusia dua tahun.

Sharifah Sakinah dan Aliff Adha dikurniakan seorang anak perempuan bernama Anais Adha.

3. Sharifah Sakinah dan Aliff Adha

Menerusi sebuah laporan, pelakon Sharifah Sakinah mengesahkan ikatan rumah tangga bersama suaminya iaitu juruterbang Aliff Adha berakhir pada Mei lalu.

Sakinah berkata, dia dan Aliff sudah tidak tinggal sebumbung sejak Mac lalu.

Khabar angin berkenaan masalah rumah tangga Sakinah bermula apabila Aliff dikatakan secara terbuka menggunakan aplikasi dating untuk bersosial.

Pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka ini bagaimanapun menafikan bahawa perpisahan mereka disebabkan orang ketiga.

Sakinah dan Aliff berkahwin pada 28 Mac 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Anais Adha.

Zimi Sofazr dan bekas isterinya, Isma Salwana Ismail bercerai talak satu.

4. Zimi Sofazr dan Isma Salwana Ismail

Pemuzik dan komposer Zimi Sofazr mengesahkan rumah tangga yang dibina selama lapan tahun bersama Isma Salwana Ismail, 37, sudah berakhir.

Zimi atau nama sebenar Zarimi Zahari, 36, berkata dia menceraikan isterinya itu dengan talak satu menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp pada Ahad, 23 Ogos lalu.

Bagaimanapun Zimi enggan bercerita lanjut mengenai punca perceraiannya kerana mahu menjaga privasi kedua-dua belah pihak.

Ahli kumpulan Sofazr ini menganggap dia dan Isma sudah tiada persefahaman dalam rumah tangga mereka.

Zimi dan Isma berkahwin pada 8 Februari 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Bunga, 4 dan Zerlinada Ikil, 3.

Hubungan Keith Foo dan Kim Raymond masih baik.

5. Keith Foo dan Kim Raymond

Pelakon Keith Foo mengesahkan sudah bercerai secara rasmi dengan isterinya iaitu model terkenal Kim Raymond sejak Disember tahun lalu.

Keith, 37, bagaimanapun berkata dia dan Kim masih menjalinkan hubungan baik demi membesarkan anak mereka iaitu Skylar Raymond Foo yang berusia tiga tahun.

Keith juga menyifatkan sesuatu ikatan perhubungan perlu dihentikan jika sudah tiada persefahaman bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

Keith dan Kim berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Skylar Raymond Foo, 3.

Opie Zami dan bekas isterinya, Zamzarina Mohamed.

6. Opie Zami dan Zamzarina Mohamed

Rumah tangga yang didirikan sejak 17 tahun lalu terlerai selepas pelakon dan pengarah Opie Zami dan isterinya Zamzarina Mohamed bercerai talak satu pada 10 Ogos lalu.

Opie atau nama sebenar Mohd Saufi Zami, 46, melafazkan talak di hadapan Hakim Ahmad Mahir Zanial kira-kira pukul 10.47 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada 16 Mac lalu, Zamzarina selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Zamzarina ketika ditemui di luar mahkamah mendakwa wujudnya cinta lokasi membabitkan Opie.

Opie mendirikan rumah tangga bersama Zamzarina pada 5 Disember 2003.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Ammar Shah Saidi, 15, Aliff Shah Syedi, 13 dan Ariff Shah Saidi, 8.

Imam Muda Syed Faris bersama isterinya, Nur Hidayu Rosly dan anak-anak mereka.

7. Imam Muda Syed Faris dan Nur Hidayu Rosly

Finalis Imam Muda 2014, Syed Faris Syed Roslan, 34, menceraikan isterinya Nur Hidayu Rosly, 33, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu.

Nur Hidayu membuat pendedahan diceraikan Syed Faris selepas pendakwah itu berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Pada 11 Ogos lalu, Syed Faris dan Nur Hidayu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya bagi menjalani proses sulh.

Sulh merupakan suatu perundingan dan perbincangan di antara pihak-pihak di hadapan seorang pegawai sulh berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap tuntutan di mahkamah syariah.

Syed Faris dan Nur Hidayu berkahwin pada 2007 dan dikurniakan lima orang anak iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, 9 bulan.

Sepanjang perkahwinan mereka, Nur Hodayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.

PU Abu didakwa berlaku curang.

8. Pencetus Ummah (PU) Abu dan Hana Azraa

Selepas pelbagai kontroversi dan dakwaan pendakwah selebriti Pencetus Ummah (PU) Abu berlaku curang pada Januari lalu, perkahwinannya dan Hana Azraa semakin berantakan.

Setelah selamat melahirkan cahaya mata pertama dengan pendakwah itu, Hana pada 13 Februari lalu mendedahkan rumah tangga yang dibina hampir setahun itu sudah berakhir.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Muhammad Uwais Al-Mateen pada 1 Februari.

Bagaimanapun difahamkan Abu dan Hana sudah rujuk semula namun kedua-dua mereka memilih untuk menutup mulut.

Perkahwinan Abu dan Hana pada Mei tahun lalu mendapat perhatian masyarakat apabila pendakwah berkenaan didakwa berlaku curang dengan isteri pertamanya Ain Afini Latif ketika wanita itu sedang sarat mengandung anak pertama mereka.

Sebelum itu, Abu atau nama sebenar Mohd Sufyan Mokhtar Rozaidi berkahwin dengan Hana sekitar bulan Mei 2019 di Malaysia dan bukannya di Thailand seperti dakwaan netizen.

Da'i Farhan bercerai dengan Dr Erin selepas enam bulan berkahwin.

9. Da'i Farhan dan Dr Erin

Isteri kepada pendakwah bebas Da'i Farhan yang dikenali sebagai Dr Erin mengesahkan dia sudah diceraikan suaminya itu pada hujung April lalu.

Menurut Erin atau nama sebenar Noorainul Naqim Mohd Radzi, 40, perceraian itu atas permintaannya dan keputusan tersebut dicapai hasil persetujuan bersama demi kebaikan semua pihak termasuk bekas madu, Fatin Nurul Ain.

"Untuk pengetahuan semua, ustaz telah pun melafazkan cerai kepada saya pada 27 April selepas saya sendiri meminta untuk dilepaskan.

"Saya yakin ini yang terbaik untuk kami bertiga kerana saya tahu pihak sana juga (bekas madu) tak boleh move on.

"Perceraian ini saya yang minta sebab saya dah penat dengan episod kejap kata nak rujuk sana dan nak ceraikan saya, kejap tak jadi cerai saya dan nak pujuk sana untuk bermadu dengan saya, kejap nak cerai balik... saya tahu ustaz pun serba salah kerana itu saya memilih untuk diceraikan dengan rela," katanya.

Pada November tahun lalu, perkahwinan Nik Farhan dengan janda anak lapan iaitu Erin di Makkah mendapat perhatian masyarakat apabila dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertamanya, Fatin.

Sehingga kini, Da'i Farhan masih mendiamkan diri dan tidak dapat dihubungi bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain