GARA-GARA pernah berlaku kekeliruan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Nur, Raja Atiq membuat keputusan untuk menukar nama komersialnya kepada Atiq Azman. Menurut Atiq, terdapat kekeliruan namanya dengan nama pelakon Raja Afiq sehingga pernah berlaku kesilapan pada poster yang dipromosi sebuah stesen radio dua tahun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Nur 2 tak sensitif, Raja Atiq mohon maaf silap baca ayat Al-Quran "Masih ramai lagi orang panggil saya Raja Atiq... tak tahu kenapa. Sebab saya tukar stage name dari Raja Atiq kepada Atiq Azman sebab ramai orang keliru antara Raja Atiq dan Raja Afiq. "Lebih kurang dua tahun lepas saya pergi ke sebuah stesen radio ni, dan mereka ada letakkan gambar saya di sebuah poster tapi nama saya mereka letak Raja Afiq, bukan Raja Atiq," katanya kepada mStar. Sampai ada orang ingat kami adik-beradik. ATIQ AZMAN PELAKON Tambahnya, ada juga yang menyangka dia dan pelakon Sayangku Kapten Mukhriz itu mempunyai talian darah. Bagaimanapun, dia terbuka jika masih ada peminat yang mahu memanggilnya dengan nama Raja Atiq. "Itu yang buat orang keliru. Bukan tak sedap letak nama Raja Atiq, tapi ramai orang keliru. Sampai ada orang ingat kami adik-beradik. "Tapi saya sebenarnya tak kisah orang nak panggil saya Raja Atiq atau Atiq Azman," jelasnya. Atiq mahu cuba pegang watak hero dalam sesebuah drama. Dalam pada itu, Atiq sempat berkongsi hasratnya untuk membawakan watak utama dalam sesebuah drama namun sedar belum mampu dan diberi kepercayaan. Atiq berkata dia juga ingin memperbaiki kemahirannya serta bakatnya dalam bidang lakonan dan tidak menerima sebarang tawaran secara melulu. "Kalau ikutkan, saya memang teringin nak bawa watak hero dalam mana-mana drama, tapi buat masa sekarang saya terima saja apa-apa tawaran yang saya dapat. Saya pun tak boleh demand. "Tapi saya kalau boleh nak perbaiki balik cara lakonan saya... saya takkan terus terima mana-mana tawaran yang datang sebab takut nanti bila mula penggambaran, saya akan menyusahkan semua kru produksi. "Jadi, untuk mengelakkan benda tu terjadi, saya akan cakap yang saya belum bersedia," ujarnya.