PELAKON veteran Datuk Zulkifli Zain meninggal dunia pada usia 74 tahun di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah kegagalan buah pinggang kira-kira pukul 7.30 malam, Sabtu. Berita sedih itu disahkan anaknya yang juga pelakon, pengarah teater dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli. ARTIKEL BERKAITAN: “Beruntungnya dapat anak-anak yang boleh berpaut” - Netizen sebak Norzizi Zulkifli layan bapa penuh kasih sayang Menurut Norzizi, jenazah bapanya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, pada Ahad selepas solat zohor. "Ya... bapa saya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Dia meninggal dunia di rumah akibat komplikasi banyak penyakit. Arwah meninggalkan seorang isteri iaitu Normala. "InsyaAllah, esok (Ahad) sekitar pukul 9 pagi jenazah akan dibawa ke masjid untuk dimandikan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat zohor," kata Norzizi kepada mStar. Sekitar Mac lalu, pelakon filem Permintaan Terakhir dan Tiada Esok Bagimu itu berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Zulkifli dikejarkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang pada 7 Mac lalu. Pada 15 Mac lalu, kesihatan bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu dilaporkan merosot hingga kurang memberikan respon dan ada ketika, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Allahyarham Zulkifli bersama keluarganya. Menurut Zizi, bapanya dijangka menerima satu anugerah dari UiTM pada Khamis ini sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang seni namun tidak kesampaian. Bercerita mengenai apa-apa hajat yang tidak kesampaian ujar Zizi, ayahnya mengidam untuk makan mi kari pada minggu lalu namun Zizi tidak sempat menyediakannya dan bercadang memenuhi permintaan itu minggu ini namun tidak berjaya selain arwah juga sukar untuk menjamah makanan. Beberapa bulan lalu kata Zizi, arwah kerap bertanya bilakah Zizi akan bergelar Profesor Madya dan dia berhasrat untuk memenuhi permintaan bapamya itu. "Arwah selalu tanya bila Zizi nak bergelar Profesor Madya dan sekarang ni Zizi tengah berusaha ke arah itu. InsyaAllah, Zizi akan penuhi impian arwah ayah nanti," ujarnya yang reda dengan kehilangan bapannya. Untuk rekod, Zulkifli yang juga suami kepada pelakon Datin Normala Omar itu pernah diserang angin ahmar pada 2016. Bertemu jodoh dengan Normala yang juga pelakon drama Opah sekitar 1975, pasangan bahagia itu dikurniakan lima cahaya mata. Selain Norzizi, Allahyarham juga mempunyai empat orang anak lagi iaitu Norzaza, 38, Norzazila, 36, Norzazleen, 33, dan Mohd Noor Zabaiq, 29, dan memiliki tujuh orang cucu. Pada sekitar era 1970an dan 1980an, Zulkifli yang berasal dari Alor Setar, Kedah diingati dengan watak Bentayan menerusi drama Tregedi Seri Mersing selain pernah membintangi filem Jiwa Remaja, Potret Maria, Penentuan dan banyak lagi. Atas sumbangan pada karier seni yang diceburi, Zulkifli dianugerahkan darjah kebesaran bergelar Datuk oleh kerajaan negeri Kedah. Antara rakan artis yang hadir melawat jenazah Allahyarham ialah Datuk Yusof Haslam, Hail Amir, Dr. Sam, Mat Over dan Eman Manan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!