suria

Filem 'Ada Apa Dengan Dosa' dijual 80 sen, penerbit Ayu Puteh saman laman e-dagang

Ayu Puteh bersama anaknya Wanna Ali yang menjadi pelakon utama filem AADD.

SYARIKAT produksi Pencil Pictures And Record Sdn Bhd memfailkan saman terhadap pemilik laman beli-belah e-dagang atas dakwaan filem terbitannya Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual dengan harga murah di platform tersebut pada Julai lalu.

Saman itu difailkan oleh syarikat itu melalui Tentuan Saiful, Roger & Co dengan menamakan laman e-dagang itu sebagai defendan tunggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem Ada Apa Dengan Dosa dijual dengan harga serendah RM1, penerbit nak saman laman e-dagang

Dalam pernyataan saman itu defendan dikatakan telah melanggar hak cipta milik plaintif dengan mengedar dan menjual filem tersebut menyebabkan orang lain turut melakukan perkara yang sama kepada orang awam di laman tersebut tanpa kebenaran plaintif sebagai pemilik hakcipta filem itu.

Dalam tuntutan samannya itu plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

“Pihak kami memfailkan saman ini kerana laman e-dagang itu telah melanggar hak eksklusif plaintif dan menyebarkannya tanpa kebenaran, ” kata peguam yang mewakili Pencil Pictures And Record Sdn Bhd, Aizul Rohan Anuar.

Pemilik Pencil Pictures And Record Sdn Bhd iaitu Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh ditemani peguamnya iaitu Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli ditemui di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat.



Ayu Puteh bersama peguamnya Aizul Rohan (kiri) dan Saiful Dzulhilmi (kanan).

Pada 3 Julai lalu, Ayu melalui pengarah filem tersebut iaitu Rahila Ali membuat laporan di Balai Polis Damansara terhadap laman e-dagang yang menjual filem AADD serendah RM0.80.

Sebelum ini, Ayu pernah mendedahkan filem AADD menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkannya di beberapa platform laman sosial serta aplikasi secara haram.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah sedia maklum mengenai isu ini dan sedang membuat siasatan berhubung kegiatan penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjelaskan pihaknya akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit.

Dia turut melahirkan kekecewaan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem cetak rompak secara digital.

Dalam pada itu, ibu kepada pelakon Wanna Ali ini berkata, tindakan itu diambil kerana ia melibatkan titik peluh penggiat seni dalam menghasilkan sebuah karya.

“Kalau saya diamkan, saya rasa macam khianati diri sendiri. Saya seorang individu dan perlukan peguam serta hakim untuk menentukan kes ini.

“Saya akan cuba pastikan dalang-dalang tersebut diambil tindakan. Kita sendiri pun secara peribadi mencari juga dan tak rasa nak undurkan diri serta berhenti di sini sebab benda dah berpuluh tahun... tiada jalan penyelesaian.

“Ada kesalahan kena saman, orang buat jahat masuk lokap tapi benda itu tetap berlarutan. Kalau kita berhenti di sini akan bertambah lagi... kalau kita teruskan akan berkurangan (kes), ” ujarnya.

Filem AADD dibintangi oleh Wanna Ali, PU Rizz, Ashraf Muslim dan Fasha Sandha ditayangkan di Astro First pada Jun lalu.

Sementara itu, selain produksi milik Ayu, Syarikat Enuja Production Sdn Bhd yang menerbitkan filem Town Mall turut memfailkan saman yang sama pada Jumaat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain