HASRAT penyanyi dan komposer Ajai untuk memberikan lagu ciptaannya yang berjudul Biarlah Ia Berlalu kepada peserta Big Stage 2020 iaitu Allahyarham Sandra Dianne tidak kesampaian. Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 44, lagu tersebut sudah dicipta sejak tahun lalu namun rancangan tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan arwah bertukar syarikat pengurusan. ARTIKEL BERKAITAN: Suasana pilu dan titisan air mata iringi konsert #SandraDalamKenangan Kata juri tetap program tersebut, dia tidak akan memberikan lagu tersebut kepada penyanyi lain memandangkan lagu bergenre belada itu dicipta khas mengikut kesesuaian nada suara Allahyarham yang sangat unik. Sesi perkongsian juri tetap bersama pengacara Big Stage 2020. "Saya ada cipta lagu untuk arwah Sandra pada tahun lalu... lagu itu genre balada. Sepatutnya dah ada persetujuan dengan pihak pengurusannya ketika itu tapi ia tertangguh sebab arwah bertukar syarikat pengurusan. "Ada banyak perkara yang berlaku, kelam kabut. Perancangan itu pun senyap begitu saja. Lagu itu tidak boleh diberikan kepada orang lain sebab bila saya buat lagu memang khas untuk orang itu. "Jadi, saya simpan saja lagu itu. Masih working title tapi saya akan guna saja tajuk yang dah ada iaitu Biarkan Ia Berlalu. Cuma saya tak ada rezeki nak rakam dengan dia. "Arwah ada keunikan tone suara dan tidak semua lagu boleh sesuai dengan suara dia. Kita kena custom made untuk dia dan kena betul-betul ikut tone dia," kata Ajai kepada mStar. Mereka kena move on sebab kembali ke pertandingan, benda ini mesti kena habiskan. AJAI PENYANYI & KOMPOSER Ajai ditemui ketika sidang media selepas konsert Big Stage tribute #SandraDalamKenangan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam, Ahad. Sandra atau nama sebenarnya Alessadra Dianne Ampuria, 26, yang dikenali dengan lagu Hey Kau meninggal dunia pada pukul 1 pagi, Jumaat selepas enam hari berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di ICU, Hospital Putrajaya. Allahyarham bersama sepupunya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk sesi latihan rancangan Big Stage terbitan Astro. Dalam pada itu, Ajai berharap lapan orang peserta Big Stage 2020 yang akan bersaing dalam minggu suku akhir pada Ahad depan terus kuat menghadapi cabaran dari segi mental dan fizikal. Lapan peserta perlu teruskan perjuangan di pentas suku akhir Big Stage 2020. "Saya rasa, mereka kena move on. Sebab kembali ke pertandingan, benda ini mesti kena habiskan. Sebab apa yang berlaku, di luar jangkaan kita dan ia qada dan qadar. "Jadi, mereka kena kuat. Dekat sini la bermula cabaran melibatkan mental dan fizikal. Ambil semangat arwah untuk teruskan perjuangan," ujarnya. Konsert Big Stage 2020 minggu kelima yang sepatutnya berlangsung pada Ahad digantikan dengan konsert tribute istimewa #SandraDalamKenangan. Lapan peserta iaitu Usop, Azzam Sham, Qody Rani, Fadh Majid, Nana Sheme, Farisha Iris, Dr Hafiz Zainal dan Dinie Rashid tetap akan meneruskan perjuangan mereka di peringkat suku akhir pada Ahad depan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!