PELAKON Liyana Jasmay berkongsi cara dia menurunkan berat badan dalam masa 23 hari tanpa mengambil sebarang makanan tambahan atau produk kurus. Menurut Liyana, 32, dia hanya amalkan diet seimbang tanpa mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat dan gula. ARTIKEL BERKAITAN: Saiz kaki berubah selepas bersalin, Liyana Jasmay nak jual lima pasang kasut jenama mewah - “Kaki saya besar jadi saiz 36.5” Pelakon filem Papadom ini mengakui biarpun pada mulanya mengalami pening kepala dan mengigil namun dia terus berusaha mencapai target sehingga 49 kilogram. Liyana berjaya turunkan hampir 4 kilogram dalam masa 23 hari. "Selepas 23 hari diet, tiada karbohidrat dan gula! Sasaran saya adalah 49 kilogram. Saya sangat gembira sebab lagi 0.03 kilogram saja sasaran nak sampai! "Daripada 53 kilogram sehingga kini! Saya tidak mengambil sebarang pil atau makanan tambahan. Saya hanya buang semua karbohidrat dan gula. Permulaan yang sukar, hari kelima saya gigil dan pening tapi teruskan juga," katanya. Liyana menerusi laman Instagram berkongsi tip kurus dan memberitahu berat badannya kini 49.03 kilogram. Tolong lakukan secara semula jadi sebab ia selamat dan untuk kebaikan badan kita LIYANA JASMAY PELAKON Rata-rata netizen di ruang komen tersebut mengucapkan tahniah dan meminta aktres itu berkongsi aturan pemakanan yang diamalkan sepanjang tempoh diet. Dalam pada itu, Liyana memberitahu perkongsian itu bertujuan untuk memberi semangat kepada semua wanita yang ingin menurunkan berat badan tanpa pengambilan makanan sampingan atau pil kurus. Tegas Liyana, seseorang itu perlu kuat dari segi mental dan turut menasihati agar tidak menggunakan jalan pintas untuk kurus kerana boleh membahayakan diri. Liyana mahu beri semangat kepada wanita di luar sana yang ingin turunkan berat badan. "Kenapa saya kongsi ini? Untuk beri semangat kepada semua wanita di luar sana, percayalah bahawa tiada makanan tambahan atau pil atau apa air mampu buat awak kurus. "Dan ya, tiada jalan singkat, jalan pintas bahaya. Kita hanya perlu ada kemahuan dan jiwa yang kuat. Dalam keadaan macam mana pun, apa saja awak nak capai dalam hidup, kena kuat dan teruskan. "Tolong lakukan secara semula jadi sebab ia selamat dan untuk kebaikan badan kita," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!