IBU kepada penyanyi dan komposer muda, Zynakal iaitu Zuraidah Ibrahim, 53, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Sabtu. Allahyarham yang juga merupakan kakak kepada Zamani daripada kumpulan Slam menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 petang akibat jangkitan kuman dan komplikasi buah pinggang. Pengurus kepada Zynakal dikenali sebagai Mad memaklumkan Allahyarham Zuraidah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak beberapa hari lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Zynakal hadapi ‘mental torture’ sejak kecil - “Saya jadi pendendam, tak faham ketegasan ibu” Sebelum itu, Zynakal ada berkongsi foto memegang tangan ibunya di atas katil hospital dan mengharapkan orang ramai mendoakan kesihatan ibunya itu. "Bukan sekarang masanya kau pergi, kau lagi kuat daripada apa yang aku tahu. Aku harap ramai mendoakanmu ibu," tulisnya di Instastory. Zynakal merupakan anak saudara kepada Zamani Slam. Sementara itu, menerusi laporan Harian Metro, sahabat baik Zamani dikenali Babah Lan memaklumkan penyanyi lagu Syair Si Pari-Pari itu berada di Pulau Pinang dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. "Zamani sebenarnya sudah bertolak ke Pulau Pinang kerana terbabit dengan satu persembahan bersama Ameng, hari ini. "Sebaik menerima berita ini, penganjur segera membelikan dia tiket penerbangan untuk pulang ke Kuala Lumpur. "Kami belum pasti masa tepat ketibaannya dan akan menunggunya untuk urusan lanjut. Buat masa ini jenazah masih berada di hospital dan selepas ini akan di bawa ke masjid Taman Keramat," katanya. Allahyarham Zuraidah juga menguruskan syarikat pengurusan Zamani iaitu ZIME Production. TONTON VIDEO PILIHAN! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!