suria

Zynakal menangis, menyesal jarang ziarah ibu di hospital ketika hayat - “Mak saya cakap kalau dia dah mati, jangan datang kubur dia”

Zynakal akui dia bukan seorang anak yang baik ketika ibunya masih hidup.

PEMERGIAN ibu tersayang Zuridah Ibrahim, 53, pada Sabtu benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada penyanyi dan komposer muda iaitu Zynakal.

Menerusi perkongsian ketika membuat siaran langsung di Instagram (IG live), Zynakal atau Muhammad Raziq Rosli 22, berkata kehilangan arwah membuatkannya sedar dia bukanlah seorang anak yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan sekarang masanya kau pergi...” - Ibu Zynakal, kakak Zamani meninggal dunia akibat jangkitan kuman

"Apabila dah selesai kebumikan arwah dan tengok batu nisan, saya terus terdetik 'aku tanam mak aku sendiri'. Saya tak pernah jangka benda ini akan terjadi dalam hidup saya.

Betul orang-orang tua cakap, hargai ibu bapa kita selagi masih ada.

ZYNAKAL

PENYANYI

"Sejujurnya sebelum mak pergi, saya tak pernah hargai dia. To be honest, saya bukan seorang anak yang baik. Sampaikan kami pernah bergaduh, mak saya cakap kalau dia dah mati, jangan datang kubur dia.

"Betul orang-orang tua cakap, hargai ibu bapa kita selagi masih ada. Bila terjadi pada diri saya, baru terasa perasaan macam ini kehilangan orang tersayang.

"Masa dia masih hidup, saya jarang hubungi dia... hubungan kami tidak seperti ibu dan anak. Masa dia di hospital, saya jarang melawat dia. Jujur... saya bukan anak yang baik," kata Zyn dalam keadaan tidak dapat menahan sebak.



Zynakal menyesal tidak pernah hargai ibunya ketika hayat.

Menerusi laporan mStar pada Sabtu, Allahyarham yang juga kakak kepada penyanyi Zamani menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 petang akibat jangkitan kuman dan komplikasi buah pinggang di sebuah hospital swasta di Kampung Baru.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sakit ini turut berpesan kepada penonton yang melihat IG Live tersebut untuk sentiasa menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.

"Kita tak tahu bila ibu bapa kita akan pergi. Kehilangan orang tersayang ini bukan macam bercinta dan putus. Tapi kehilangan ini tak kan dapat jumpa lagi selepas ini.

"Kalau kita benci ibu bapa sebab apa yang mereka lakukan terhadap, kita kena fikir mesti ada sebab yang baik kerana mereka lakukan begitu," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain