suria

“Emoji love tak bermaksud apa-apa, orang luar salah tafsir!” - Noor Nabila serba salah video Neelofa, PU Riz jadi tular

Nabila serba salah termuat naik video Neelofa dan PU Riz.

TINDAKAN Noor Nabila memuat naik video di Instastory memperlihatkan adiknya pelakon Neelofa dan Pencetus Ummah (PU) Riz sedang berbual disertai emoji hati mencetus spekulasi dalam kalangan netizen.

Mengakui perkongsiannya itu tidak disengajakan, Nabila, 36, berkata, dia berasa serba salah apabila pengacara popular itu terpaksa berdepan pelbagai persoalan daripada peminat.

"Emoji cinta yang saya kongsikan di Instastory hanyalah sekadar berkongsi rasa teruja pada majlis perkahwinan adik saya. Tak sangka viral dan saya rasa serba salah pula... nak padam pun benda dah tular.



Keluarga dan tetamu mengenakan baju bertemakan warna biru.

“Sejujurnya emoji itu tidak bermaksud apa-apa pun, tapi orang luar sudah menyalah tafsir perkara itu. Pada majlis pernikahan itu, PU Riz hanya diundang untuk membaca doa.

“Semua tetamu mengenakan baju berwarna biru... keluarga, kawan, semua kecuali dulang boys!, ” katanya kepada mStar.

Sementara itu, bekas isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad ini berkata dia menerima sesiapa sahaja lelaki yang bakal menjadi pilihan adiknya.

Kami senang dengan PU Riz dan secara tidak langsung saya yang kurang ilmu ini dapat belajar sesuatu daripadanya.

NOOR NABILA

KAKAK NEELOFA

Dia turut mengakui selesa sepanjang mengenali PU Riz dan mengagumi ilmu agama yang dimiliki aktor filem Ada Apa Dengan Dosa itu.

“Tak kisahlah sama ada PU Riz atau sesiapa sahaja. Apa yang penting, saya nak lihat Neelofa gembira dulu. Selain bahagia yang diperlukan, lelaki itu perlu bersama susah senang dengannya. Ilmu agama itu penting, dapat mendidik.

"Kami memang seronok belajar agama dengannya. Dia seorang ustaz (panggilan kepada PU Riz) yang kami boleh bergurau dan bertanya apa saja soalan.



Noor Nabila bersama ibunya, Noor Kartini.

"Kami senang dengan PU Riz dan secara tidak langsung saya yang kurang ilmu ini dapat belajar sesuatu daripadanya. Keluarga kami mula rapat dengan PU Riz sejak dia menjadi imam terawih Ramadan lalu, ” ujarnya.

Pada 20 September lalu, kehadiran pendakwah selebriti PU Riz di majlis pernikahan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief menarik perhatian netizen.

Menerusi perkongsian foto dan video yang dimuat naik adik-beradik pengacara ini, Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, kelihatan memakai baju berwarna biru muda sedondon dengan pihak keluarga pengantin lelaki.

Malah, Noor Nabila turut berkongsi video di Instastory miliknya meletakkan emoji berbentuk hati ketika pasangan ini sedang berbual.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain