suria

Farah Nabilah nak ‘slowdown’ berlakon selepas dapat anak, mula buat bisnes - “Sebagai seorang isteri, tanggungjawab banyak dekat rumah”

Farah mula ceburi bidang perniagaan kerana memikirkan statusnya sudah berkahwin.

BERBAKI empat minggu sebelum dijangka melahirkan cahaya mata pertama, pelakon Farah Nabilah tetap gigih menguruskan perniagaannya.

Menurut Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 28, status sebagai seorang isteri dan bakal ibu menjadi salah satu penyebab dia mula menceburi bidang perniagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama berehat rupa-rupanya Farah Nabilah bakal jadi ibu, kini hamil lima bulan - “Menangis tak dapat makan yang saya idam kerana PKP”

Biarpun kini seronok menguruskan perniagaan tersebut namun pelakon yang mula dikenali menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu tetap akan meneruskan kariernya dalam bidang lakonan.

Farah dijangka melahirkan anak sulungnya pada hujung Oktober.

"Apabila dah kahwin ini, banyak perkara perlu dihadkan dan syukur rezeki dikurniakan anak pun datang awal.

"Lagipun sebagai seorang isteri, tanggungjawab banyak dekat rumah. Tak boleh tinggalkan keluarga. Sebab itu saya fikir, lebih baik saya upgade diri saya dan lakukan sesuatu sebab daripada dulu hanya berlakon saja.

"Saya seorang yang mementingkan keluarga... jadi kalau boleh saya nak duduk rumah dan buat bisnes. Sekurang-kurangnya apabila ada perniagaan sendiri, saya boleh uruskan dari rumah juga.

Bagi saya, dikurniakan zuriat ini pun dah sangat bersyukur.

FARAH NABILAH

PELAKON

"Kalau berlakon pun mungkin saya akan pilih telefilem atau drama yang bersesuaian tapi apa pun saya tetap akan cuba bahagikan sama rata antara dunia lakonan dan perniagaan," kata Farah kepada mStar.

Farah ditemui ketika sidang media pelancaran pejabat pengurusan produknya di Catson Global (M) Sdn Bhd di Skypark @ One City, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.

Pada Jun lalu, Farah berkongsi berita gembira bahawa dia sedang hamil lima bulan dan berasa teruja untuk menantikan kelahiran cahaya mata pertama.

Menerusi laporan mStar pada 10 Jun lalu, Farah berkata dia tidak mengalami sebarang alahan yang teruk sepanjang tempoh awal trismester pertama.

Farah dan suami tidak kisah dapat bayi lelaki atau perempuan.

Dalam pada itu, Farah memberitahu dia dan suaminya iaitu Mohammed Amirul Yunus mahu menjadikan jantina bayi sulung mereka sebagai satu kejutan.

"Sebenarnya saya sendiri tak tahu jantina bayi sebab tak nak tahu pun... biar jadikan kejutan. Anak pertama ini saya tak kisah lelaki atau perempuan. Asalkan bayi saya sentiasa dalam keadaan sihat.

"Bagi saya dikurniakan zuriat pun dah sangat bersyukur. Saya dan suami pun hanya beli barang-barang keperluan bayi yang sesuai untuk untuk lelaki atau perempuan," ujarnya.

Farah mendirikan rumah tangga dengan Amirul yang merupakan juruterbang sebuah syarikat penerbangan terkenal pada 20 Disember tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain