suria

Wan Emir bawa Mira Filzah ziarah pusara bapa - “Salam papa, kenalkan Nur Amirah... izinkan kami membina masjid dengan keberkatan”

Mira dan Wan Emir sebak apabila mengunjungi pusara bapa tersayang.

SELEPAS hampir sebulan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Mira Filzah, Wan Emir Astar membawa isterinya itu menziarahi pusara bapa iaitu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Menerusi Instagram, Wan Emir, 30, memberitahu dia masih mengingati amanah yang diberikan oleh arwah bapa dan berjanji akan menjaga ikatan perkahwinan sebaik-baiknya.

"Salam papa... Emir kenalkan Nur Amirah, anak perempuan papa... satu-satunya yang dipilih untuk saya dan saya untuknya. Saya akan mencintainya seperti mana papa menyayangi ibu, dengan penuh tanggungjawab dan semangat.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa bakal suami Mira Filzah? Kenali Wan Emir Astar, jejaka hitam manis berkumis nipis

ARTIKEL BERKAITAN: Mira Filzah nikah malam ini, kisah cinta bermula daripada Instagram ke WhatsApp - “Saya beritahu ibu mahu berkahwin dengan Emir”

"Halalkan segalanya dan ampunkan dosa ibu, Emir dan adik-adik... serta kata-kata terakhir papa 'turn over a new leaf'.

"Maka izinkanlah Emir dan Amirah meneruskan kehidupan ‘membina masjid’ dengan keberkatan daripada segala bakti papa yang telah mendidik dan mengasihani Emir sejak lahirnya ke dunia ini," katanya.



Wan Emir bersama isteri Mira Filzah dan ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid menziarahi pusara arwah bapa.

Bersama kapsyen tersebut, Wan Emir berkongsi foto dia dan isteri serta keluarga menziarahi kubur bapa tersayang dan mengadakan majlis tahlil di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak pada Khamis lalu.

Mira Filzah, 27, dan suaminya Wan Emir Astar mendirikan rumah tangga pada 3 September lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.

Wan Emir merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Kami rindu papa... setiap hari. Jaga papa untuk kami Ya Allah!

WAN EMIR ASTAR

SUAMI MIRA FILZAH

Dalam pada itu, Wan Emir berterima kasih kepada keluarga kerana sentiasa mendoakan yang terbaik sehingga mereka sah bergelar suami dan isteri.

"Terima kasih papa dan ibu, abah dan mak kerana anda semua ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan memberi restu, sekarang ini kami suami dan isteri, mencari keredaan dan rahmat dari Allah SWT.

"Kami rindu papa... setiap hari. Jaga papa untuk kami Ya Allah!," ujarnya.



Foto kenangan... Wan Emir (dua dari kiri) bersama arwah bapa (tengah) dan tiga adiknya.

Bapa Wan Emir iaitu Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei 2016.

Allahyarham ketika itu merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Bukit Chandan, Perak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain