suria

“Bukan mudah untuk bercakap hal ehwal agama pada akhir zaman ini” - PU Amin syukur dapat tauliah mengajar di Wilayah Persekutuan

Tempoh Tauliah Mengajar agama di Wilayah Persekutuan sah sehingga 31 Ogos 2023.

JIKA sebelum ini pernah dikecam gara-gara lantang memberi pandangan dan aktif memberi ceramah agama, kini Pencetus Ummah (PU) Amin meluahkan rasa syukur apabila berjaya menerima Tauliah Mengajar di Wilayah Persekutuan.

Menerusi perkongsian PU Amin di Instagram pada Isnin, tauliah tersebut sah digunakan dalam tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 16 Mei hingga 31 Ogos 2023 dengan beberapa syarat tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Awak fikir kami PU, Imam Muda, ustaz ni budak-budak boleh dibuli ke?” - PU Amin kecewa Caprice jadikan isu PU Abu sebagai bahan jenaka

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokmanhakim, berharap dia dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik.

PU Amin berkongsi berita gembira itu di Instagram.

"Alhamdulillah, nak dapat ini kena temuduga dan tapisan yang sangat hebat. Bukan mudah untuk bercakap hal ehwal agama pada akhir zaman ini.

"Moga apa yang kita sampaikan mengikut kehendak Allah dan Rasul. Proses dapat tauliah juga sangat ketat. Maka apabila dah diberi kepercayaan oleh pihak berkuasa, maka perlu kita gunakan dengan sebaiknya.

"Semoga kita diberi kekuatan untuk meneruskan kerja dakwah di dunia ini," kata PU Amin.

Bukan mudah untuk bercakap hal ehwal agama pada akhir zaman ini.

PU AMIN

PENCETUS UMMAH

Ruang komen di perkongsian tersebut dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada netizen yang turut mendoakan agar segala urusan dakwah PU Amin dipermudahkan.

Menerusi surat daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri yang diterima PU Amin, dia diingatkan agar tidak mengajar atau menyebarkan apa-apa ajaran bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, PU Amin juga tidak boleh menyentuh apa-apa perkara berhubungan dengan kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana raja sebagai ketua agama Islam sesebuah negeri.

Tempoh sah tauliah untuk mengajar agama di Wilayah Persekutuan yang diberikan kepada PU Amin adalah selama tiga tahun.

Dua syarat lain juga termasuklah tidak menghina perkara khilafiah yang terdapat dalam empat mazhab dan yang tidak selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Jemaah serta tidak menyentuh isu parti politik.

Selain itu dia juga tidak boleh menyentuh langsung hal-hal peribadi mana-mana individu, tidak menghina pihak berkuasa agama dan mematuhi segala peraturan yang dikenakan.

Sebelum ini pada November 2019 PU Amin diberi pentauliahan untuk mengajar agama di Negeri Sembilan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain