suria

Zamani Slam syukur kahwin sebelum pandemik Covid-19 - “Sekarang ada yang jaga, kalau tidak... duduk seorang diri di rumah masa PKP”

Zamani seronok selepas kahwin ada isteri yang menjaga di rumah.

LEBIH setahun bergelar suami kepada Nur Juliana Abdul Rani, penyanyi Zamani (Slam) meluahkan rasa syukur kini melayari kehidupan yang bahagia dan teratur.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 49, berkata, sakit tulang belakang yang dialaminya juga kini semakin menunjukkan peningkatan yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Zamani berkahwin, pilih kawan baik sebagai isteri

"Alhamdulillah... keadaan saya okay saja dan bersyukur selepas kahwin ini dah ada orang jaga. Nasib baik juga saya berkahwin sebelum pandemik Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kalau tidak, sebelum ini duduk rumah seorang diri.



Zamani dan isteri berkahwin pada September tahun lalu.

"Cuma masalah dari segi kesihatan saja. Sekarang ini saya masih jalani rawatan chiropractic Saya harap-harap okay sebab nampak ada progres. Tapi bila dah mula banyak kerja nanti, saya tak tahu lagi macam mana.

"Sekarang ini banyak berada di rumah berehat saja. Insya-Allah harap tiada masalah," kata Zamani kepada mStar.

Zamani ditemui ketika sidang media Konsert Slam Mentari Muncul Lagi di Meeting Room, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.

Bagi saya, masalah sakit tulang belakang ini tidak akan mengganggu prestasi saya.

ZAMANI

VOKALIS SLAM

Penyanyi itu selamat bergelar suami kepada Nur Juliana Abdul Rani, 36, dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 20 September tahun lalu.

Selepas hampir tiga tahun tiada persembahan berskala besar, kumpulan Slam akhirnya bakal beraksi dalam sebuah konsert pada 17 Januari 2021.

Untuk makluman, konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RMM700, RM360, RM260, RM200, RM160 dan RM130.

Dalam pada itu, Zamani memberitahu masalah kesihatan yang dialaminya itu tidak akan menganggu persiapan dan prestasinya untuk konsert tersebut.



Dari kiril; Shah, Zamani, Eddie dan man.

Malah, Zamani juga akan memastikan kesihatannya dalam keadaan tahap yang paling baik pada malam konsert tersebut agar dia dan ahli kumpulan dapat memberikan semula kegemilangan Slam.

"Walaupun tahap kesihatan saya tidak berada dalam keadaan 100 peratus baik, namun ia tidak menganggu persiapan saya untuk konsert ini. Bagi saya, masalah sakit tulang belakang ini tidak akan mengganggu prestasi saya.

"Saya cuba pastikan pada malam konsert itu nanti kesihatan saya berada dalam tahap paling baik. Kami harap dapat kembalikan semula kegemilangan Slam," ujarnya.

Selain Zamani, Slam yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu turut dianggotai oleh Shah (gitar utama), Man (pemain dram) dan Eddie (keyboard).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain