KEPUTUSAN beberapa selebriti wanita mengubah penampilan diri dengan mengenakan hijab disambut baik peminat dan masyarakat. Lebih mengejutkan apabila ada antara mereka yang sedang berada di kemuncak kerjaya bulat hati menukar penampilan dengan niat mahu menjadi seorang Muslimah yang lebih baik. Kali ini mStar senaraikan sembilan selebriti yang bertudung sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini! 1. Hannah Delisha Hannah Delishah mengambil keputusan mengenakan hijab sekitar awal September lalu. Menurut Hannah, dia sudah lama menyimpan niat itu dan akhirnya apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Dalam pada itu, Hannah berkata jiwanya terasa begitu tenang semenjak berhijrah dan mengenakan hijab. 2. Zara Zya Sudah lama memendam hasrat berhijrah akhirnya Zara Zya membulatkan tekad bertudung sejak pertengahan September lalu. Sebelum itu, Zara dilihat memuat naik gambar bertudung hingga menarik perhatian pengikut yang memuji imej baharunya itu Menurut Zara, dia masih dalam proses untuk membiasakan diri dengan imej berkenaan dan mengharapkan peminat mendoakan yang terbaik. 3. Mawar Rashid Selepas mengikuti kelas pengajian agama di Kelantan, pelakon Mawar Rashid akhirnya terbuka hati untuk menutup aurat sepenuhnya sejak pertengahan Ogos lalu. Menurut Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 25, dia sudah lama menyimpan impian untuk memakai tudung namun akui hatinya berbolak-balik sehinggalah dia menyedari tanggungjawabnya sebagai wanita Islam untuk menutup aurat. Sebelum ini, pelakon drama Suamiku Paling Sweet itu memakai tudung sepanjang bulan Ramadan namun selepas itu dia kembali dengan penampilan tanpa hijab. 4. Ernie Zakri. Penyanyi Ernie Zakri mengumumkan penampilan baharunya menerusi laman Instagram pada bulan Mac 2020. “Jujurnya saya masih dalam proses membiasakan diri. Ikutkan saya dah lama menyimpan niat mahu berhijab. Cuma kekuatan melakukan perubahan itu datang selepas kita diuji dengan musibah penularan wabak COVID-19," katanya. Meskipun sudah berhijab, Ernie berkata dia akan meneruskan karier nyanyian. 5. Cik Manggis Cik Manggis yang merupakan ahli kumpulan De Fam ini mula memuat naik imej berhijab di laman Instagram miliknya pada Jun 2020. Ramai yang memuji kecantikan dan penampilan Cik Manggis selepas mengenakan hijab sepenuhnya. Walaupun kini sudah berhijab, namun ianya tidak menganggu kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan minatnya dalam bidang tarian. 6. Kilafairy Keputusan Kilafairy mengubah penampilan mengenakan hijab mengejutkan peminat dan netizen. Kilafairy memuat naik foto dengan penampilan berhijab di laman Instagram miliknya pada 5 Jun lalu. Sinonim dengan imej seksi, Kilafairy berkata penghijrahannya itu seiring dengan impian mahu berubah menjadi lebih baik dan memperbaiki diri pada tahun ini. 7. Sharifah Shahirah Penyampai radio Suria FM ini mula memakai tudung sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Dia yang merupakan kakak kepada Sharifah Sakinah, memberitahu bahawa dia mula memakai hijab sepenuhnya apabila menyedari wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini merupakan dugaan daripada Allah SWT. 8. Tash Yong Pelakon dan penyanyi Tash Yong mula bertudung sejak Aidiladha lalu. Tash atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli berkata perubahan itu adalah kerana Allah SWT dan berharap agar dia terus istiqamah dalam penampilannya itu. 9. Ezlynn Penyanyi Ezlynn Ariffin mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya selepas akhir bulan Ramadan lalu. Kata Ezlynn, selepas tiga tahun cuba memakai tudung setiap kali Ramadan membuatkan tahun ini dia tekad untuk terus berhijab. "Saya membiasakan diri bertudung secara perlaban-lahan. Namun, kekuatan dan ketetapan hati datang, tahun ini. Tindakan saya tidak drastik, namun akhirnya menuju jalan pasti," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!TONTON VIDEO PILIHAN!