PENYANYI Indah Ruhaila mengakui pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara memberi kesan kepada kehidupan semua golongan termasuk selebriti tempatan. Bagaimanapun Indah, 33, dia masih menerima tawaran menyanyi walaupun tidak seperti sebelum ini. ARTIKEL BERKAITAN: Jadual padat, Indah Ruhaila tetap cari masa solat Tarawih Pemilik nama Siti Ruhailah Hussein ini berkata, disebabkan perkara itu juga dia enggan memilih dan mengambil saja peluang yang ada. Indah akui sedikit sebanyak pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kehidupannya. "Sejujurnya, pandemik Covid-19 ini sememangnya memberi kesan kepada kehidupan semua orang termasuklah golongan selebriti juga. "Ada yang kena buang kerja dan sedikit sebanyak memang terkesan. Tapi Alhamdulillah... sepanjang tempoh itu, saya ada juga menerima tawaran menyanyi. "Sekarang ini, saya tidak mahu memilih sangat dan tidak nak demand. Apa yang orang dah beri, ia satu penghargaan bermakna ada orang ingat kita," kata Indah kepada mStar. Indah memberitahu perkara itu ketika sidang media program Vokal Mania bersama media yang diadakan secara maya pada Ahad. Sekarang ini, saya tidak mahu memilih sangat dan tidak nak demand. INDAH RUHAILA PENYANYI Selain Indah, tiga penyanyi lagi iaitu Aina Abdul, Tomok dan Lan Solo sebagai Idol akan bertanding dengan 24 orang penyanyi amatur (Rookie) untuk memenangi wang tunai terkumpul sebanyak RM80,000. Vokal Mania akan bersiaran secara langsung bersama Datuk AC Mizal dan Azira Shafinaz selaku hos bermula pada 24 Oktober depan pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam hingga 10.30 malam. Dalam pada itu, penyanyi lagu Pudar ini mengakui biarpun membawa gelaran Idol sangat mencabar namun dia menganggap ia satu peluang untuk dirinya kembali muncul di televisyen setelah sekian lama. Indah ambil peluang untuk muncul kembali di televisyen dengan sertai Vokal Mania. "Untuk Vokal Mania ini saya ditawarkan untuk menjadi Idol... walaupun ia agak berat dan mencabar tapi saya anggap ini satu peluang untuk saya muncul di kaca TV. "Dah lama saya duduk rumah dan tak keluar TV. Tak kisah la di waktu sekarang ini, kalau dipanggil untuk buat persembahan saja pun saya okay. "Tak ada ruang untuk kita memilih... apa saja ada depan mata, kita kena grab peluang itu," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!