POPULARITI kumpulan Dolla melonjak naik selepas mereka menerima liputan media antarabangsa berhubung dakwaan kononnya meniru kumpulan popular daripada Korea Selatan iaitu Blackpink. Memandang daripada sudut positif, salah seorang ahli kumpulan Dolla iaitu Sabronzo menganggap pendedahan media luar negara itu sebagai satu peluang untuk mereka membina nama dan mengumpul peminat baharu. "Pada awalnya saya tak sedar portal yang keluarkan artikel itu sehinggalah ahli kumpulan lain memaklumkan mengenai perkara itu... memang terkejut sebab tak sangka mereka sudi menulis mengenai kami. ARTIKEL BERKAITAN: Dolla kena ‘sound’ acah nak tiru Blackpink, tak ada identiti sendiri - “Bukan sengaja copy bulat-bulat, kami ambil inspirasi sana sini” "Walaupun cerita dalam artikel itu mengenai sesuatu isu yang agak sensitif tetapi kami menerimanya dari sudut positif kerana ia merupakan peluang untuk kami memperkenalkan Dolla. "Topik yang diketengahkan mengenai Blackpink dan seksi itu bukan benda baharu, jadi isu tersebut sama sekali tidak membuatkan kami rasa patah semangat atau sebagainya," katanya kepada mStar. Nama Dolla trending di Twitter selepas beberapa portal hiburan antarabangsa menerbitkan berita mengenai kumpulan mereka. Sebelum ini, beberapa portal hiburan popular di Korea Selatan, Indonesia dan Singapura menerbitkan artikel mengenai kumpulan Dolla. Antara topik yang dibangkitkan ialah mengenai perbandingan kumpulan tersebut dengan Blackpink. Gara-gara liputan meluas yang diberikan media antarabangsa itu, Sabronzo berkata laporan tersebut sedikit sebanyak membantu menaikkan jumlah tontonan video muzik (MV) Dolla Make You Wanna di laman YouTube. Kalau ada komen negatif pun kami terima dengan hati terbuka, apa yang kurang kami akan perbaiki dan kami sangat berterima kasih dengan sokongan semua pihak! SABRONZO AHLI KUMPULAN DOLLA "Saya akui berita itu sedikit sebanyak membantu menaikkan jumlah tontonan MV tersebut, malah Instagram dan TikTok kami juga meningkat... rata-ratanya yang mengunjungi laman sosial kami adalah orang luar Malaysia. "Mungkin mereka nak menilai sendiri persamaan Dolla dan Blackpink. Tapi kebanyakannya meninggalkan komen positif dan syukur mereka suka dengan identiti yang kami bawa. "Kalau ada negatif pun kami terima dengan hati terbuka, apa yang kurang kami akan perbaiki dan kami sangat berterima kasih dengan sokongan semua pihak," ujarnya. Dolla mahu kembangkan muzik mereka di seluruh dunia. Menerusi laporan mStar pada April lalu, Sabronzo menegaskan Dolla tidak meniru mana-mana kumpulan antarabangsa termasuklah Blackpink. “Saya sedar ada yang menyamakan kami dengan kumpulan Blackpink, kami anggap ia sebagai satu penghargaan kerana mereka sesungguhnya berada di satu tahap yang berbeza. “Namun saya nak tegaskan kami bukannya copy bulat-bulat kumpulan Blackpink, sebenarnya kami terinspirasi daripada beberapa kumpulan wanita lain daripada Barat dan juga tempatan. “Mungkin orang kata sedemikian kerana kami mempunyai empat orang ahli, namun ia sekadar satu kebetulan, ” katanya. Bercakap mengenai lagu baharu, Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Angel, Syasya dan Tabby itu bakal muncul dengan single kedua berjudul Impikan yang akan dilancarkan di laman YouTube pada Jumaat ini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!