suria

Wafariena mahu dikenali sebagai penyanyi, cuba nasib bertanding dalam 'Vokal Mania' - “Saya dah ada dua single sebelum ini”

Wafariena bermula dari bidang nyanyian sebelum menceburi lakonan.

KEMUNCULAN pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2, iaitu Wafariena menerusi program nyanyian Vokal Mania pada Sabtu lalu mencuri perhatian penonton.

Rata-rata netizen tidak menyangka Wafariena, 25, yang juga salah seorang penyanyi amatur atau digelar ‘rookie’ dalam program itu mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

ARTIKEL BERKAITAN: Wafariena akui pernah digoda suami orang, perangai sebenar jauh berbeza dengan 'Nurul Ain' - “Nak rampas suami orang itu, memang tidak!”



Nyanyian Wafariena dalam Vokal Mania tarik perhatian.

"Alhamdulillah... saya menerima banyak komen yang positif selepas program tersebut. Saya sudah lama impikan untuk menyanyi di pentas seperti itu.

"Menyertai program itu buat saya rasa gembira. Sejak kecil lagi memang impian saya nak jadi seorang penyanyi. Tapi saya ada juga terima juga komen sindiran.

"Ada yang kata saya nak buat semua, berlakon nak, menyanyi pun nak juga. Sebenarnya ramai yang keliru.

"Mereka fikir saya dah berlakon, lepas itu nak lompat jadi penyanyi. Sedangkan sebenarnya saya memang bermula dengan nyanyian," katanya kepada mStar.

Kalau dulu fokus saya hanya pada nyanyian tapi kali ini, saya boleh buat kedua-duanya.

WAFARIENA

PENYANYI & PELAKON

Wafariena merupakan salah seorang daripada 24 penyanyi amatur yang mengambil bahagian dalam rancangan Vokal Mania yang bersiaran setiap 9 malam, Sabtu.

Kesemua peserta Rookies perlu berentap dengan penyanyi berpengalaman atau digelar idol iaitu Tomok, Lan Solo, Aina Abdul dan Indah Ruhaila bagi merebut gelaran juara.

Sebelum dikenali menerusi watak Nurul dalam drama tersebut, Wafariena sebenarnya mempunyai single berjudul Nafas Cinta dan Carilah Aku.



Wafariena bersyukur diberikan peluang untuk berlakon.

Dalam pada itu, Wafariena meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang untuk berlakon terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Masa awal-awal PKP itu, aktiviti seni saya terjejas juga sebab ketika itu fokus saya hanya pada nyanyian. Waktu itu, tiada sebarang acara boleh dijalankan.

"Alhamdulillah... selepas diberi peluang dalam lakonan, saya banyak terima tawaran ke arah itu pula.

"Kalau dulu fokus saya hanya pada nyanyian tapi kali ini, saya boleh buat kedua-duanya... berlakon dan menyanyi," ujarnya.

Artikel Lain